Kakitangan swasta paling berisiko diberhentikan kerja - MEDAC | DagangNews Skip to main content

Kakitangan swasta paling berisiko diberhentikan kerja - MEDAC

Pekerja swasta

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Kakitangan yang bekerja dalam sektor swasta merupakan golongan paling berisiko untuk diberhentikan kerja.

 

Perkara itu dibuktikan melalui kaji selidik yang dilaksanakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) ke atas pengguna yang sememangnya  memberi kesan negatif ke atas kehidupan rakyat.

 

Menteri MEDAC, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesan negatif tersebut adalah berbeza mengikut kumpulan pendapatan di mana golongan B40 lebih terkesan dengan isu kewangan, manakala golongan M40 dan T20 terkesan dengan isu sosial.

 

"Kaji selidik yang melibatkan seramai 2,888 responden dalam tempoh yang sama ini juga mendapati pekerja yang bekerja di sektor swasta merupakan mereka yang paling berisiko tinggi untuk diberhentikan kerja.

 

"Lebih 50% daripada kumpulan B40 dan hampir 50% kumpulan M40 telah mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 10% hingga 30% akibat penguatkuasaan PKP.

 

"Manakala 30% daripada kumpulan T20 telah mengalami pengurangan pendapatan lebih 50%," jelas beliau dalam satu sidang media secara maya hari ini.

 

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

Sehubungan itu, MEDAC telah mengenalpasti langkah intervensi yang bersesuaian untuk dilaksanakan bagi membantu usahawan menangani impak PKP.

 

Langkah tersebut termasuk meneruskan pelaksanaan langkah intervensi di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi MEDAC, bantuan pembiayaan dan moratorium secara bersasar.

 

“Dalam pada itu, MEDAC juga akan melaksanakan siri kaji selidik seterusnya selepas dua minggu tempoh lock down dilaksanakan.

 

"Ini bagi menilai impak lanjut yang dihadapi oleh usahawan termasuk langkah keberkesanan intervensi yang dilaksanakan oleh kerajaan," tambah beliau.

 

Beliau turut mengambil kesempatan menggesa rakyat untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan memainkan peranan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan melalui pengambilan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. - DagangNews.com