Kampung Budaya Terengganu berwajah baharu, terima peruntukan naik taraf RM5.05 juta daripada MOF  | DagangNews Skip to main content

Kampung Budaya Terengganu berwajah baharu, terima peruntukan naik taraf RM5.05 juta daripada MOF 

Persembahan gamelan antara aktiviti yang ada di Kampung Budaya Terengganu.
Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 13 Jun - Kampung Budaya Terengganu (KBT) yang terletak di Losong, akan berubah wajah melalui proses naik taraf beberapa prasarana dengan peruntukan sebanyak RM5.05 juta disalurkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

 

Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria berkata, projek naik taraf itu akan bermula bulan depan dan dijangka siap pada Disember 2024.

 

"Antara yang akan terlibat ialah dewan utama, landskap, laluan pejalan kaki, pondok dan wakaf rehat untuk pengunjung agar lebih selesa ketika berada di KBT.

 

"Sepanjang proses naik taraf ini berjalan, operasi ini KBT akan tetap diteruskan seperti biasa kerana projek itu akan dilaksanakan secara berfasa," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.


 

(JPNT), Fadli Yusof Zakaria
                                   Fadli Yusof Zakaria

 


KBT adalah destinasi tarikan pelancongan terbaru di Terengganu yang berkonsepkan muzium hidup untuk memberi peluang kepada pengunjung menyelami sejarah warisan, budaya dan cara hidup masyarakat pada zaman dahulu.

 

Lapan elemen penting dalam warisan sejarah Melayu Terengganu yang dipamerkan di KBT ialah Rumah Bujang Berserambi atau Istana Tengku Nik; Rumah Limas Belanda; Rumah Bujang Berpeleh; Rumah Bujang Berserambi Selasar; Rumah Limas Bungkus atau Istana Tengku Long; Galeri Pelayaran; Rumah Nelayan dan Laman Warisan.

 

Selain itu, KBT turut menempatkan dua perahu besar tinggalan sejarah yang menjadi bukti kehebatan penduduk Terengganu sebagai komuniti maritim dalam perdagangan antarabangsa satu ketika dulu.


 

KBT

 

KBT

 

KBT

 

KBT

 


Mengulas lanjut, Fadli berkata, apabila siap kelak, KBT akan menjadi pusat interaktif yang mengumpulkan ramai karyawan seni dan budaya di Terengganu selaras hasrat kerajaan negeri yang mahu memperkasakan pelancongan berasaskan pengalaman di negeri itu.

 

"Di KBT, pengunjung akan menikmati pengalaman manis seolah-olah berada di zaman kegemilangan masyarakat Melayu Islam di negeri itu yang sangat signifikan sebagai pusat penyebaran dakwah terkemuka di nusantara.

 

"Setiap rumah tradisional yang ada di KBT mempunyai sejarah dan penceritaan yang tersendiri, malah ada rumah yang sudah berusia lebih 100 tahun.

 

"Keindahan seni binanya juga boleh menjadi rujukan penyelidik atau pelajar yang ingin mendalami falsafah seni kejuruteraan dan sejarah Islam yang menjadi prinsip di sebalik pembinaannya," katanya.


 

KBT

 

KBT

 


Menurutnya, sebaik sahaja KBT selesai dinaik taraf kelak, lebih banyak acara menarik akan diadakan di pusat pelancongan itu.

 

"Antara demonstrasi yang dipersembahkan kepada pengunjung ketika ini ialah seperti pembuatan jala, bubu, keropok, seni dan ukiran khat, kayu, anyaman, wau, gasing, tembikar, tembaga, keris, pameran pakaian tradisional, mencanting batik dan permainan tradisional," katanya. - DagangNews.com