Kampung di Sik jadi lokaliti pertama projek basmi kemiskinan tegar - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Kampung di Sik jadi lokaliti pertama projek basmi kemiskinan tegar - Mustapa

Mustapa mengadakan lawatan di daerah Sik, Kedah, Sabtu lalu.

 

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Sebuah kampung di daerah Sik, Kedah dicadangkan sebagai lokaliti pertama untuk projek rintis bagi membasmi kemiskinan tegar secara menyeluruh.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pendekatan baharu itu melibatkan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun, universiti, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), organisasi berasaskan komuniti (CBO) setempat dan pihak swasta. 

 

Beliau berkata, perbincangan itu adalah bagi mengenal pasti pendekatan holistik yang lebih berkesan untuk menghapus kemiskinan tegar di lokaliti yang terpilih dengan penglibatan pihak-pihak berkaitan.

 

"Usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah pelaksanaan strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang meletakkan sasaran untuk menghapus kemiskinan tegar pada tahun 2025 dengan mentransformasi pendekatan bagi membasmi kemiskinan tegar.

 

"Selain Sik, program rintis membasmi kemiskinan tegar ini akan dilaksanakan di beberapa lokaliti lain seluruh negara. 

 

"Pelaksanaan pendekatan baharu ini memerlukan pangkalan data yang tepat. Sehubungan ini, pemutihan data eKasih sedang dilaksanakan oleh pihak ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) bagi memastikan ketelusan dan ketepatan maklumat kumpulan sasar," katanya pada sesi Poverty Circle Ke-5, hari ini susulan lawatan yang diadakan ke daerah itu pada Sabtu lalu.

 

Sesi secara maya itu dihadiri Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ketua Pengarah Unite Perancang Ekonomi (EPU), Saiful Anuar Lebai Hussen; Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi, Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM, Datuk Ruji Ubi dan Pengarah Pembangunan Negeri Kedah, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian,     

 

Turut hadir wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Yayasan Hasanah, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM), Kelab Anak-Anak Sik dan MyKASIH Foundation Dialog Group. 

 

Mustapa berkata, berdasarkan pangkalan data eKasih pada masa ini, terdapat kira-kira 178,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar yang produktif iaitu berusia antara 15 hingga 60 tahun di seluruh negara.

 

Beliau berkata, satu Unit Kemiskinan khusus telah ditubuhkan di EPU untuk menangani isu kemiskinan dengan penugasan semula fungsi dan perjawatan sedia ada. 

 

"Kerajaan negeri juga dicadang agar menubuhkan unit yang sama di peringkat negeri dan daerah supaya dapat menumpukan sepenuhnya kepada hal-hal kemiskinan. Ini bagi memastikan pelaksanaan agenda pembasmian kemiskinan tegar akan lebih berfokus," katanya.-DagangNews.com