KUALA LUMPUR 19 Mei - Tentera laut Indonesia menerima dua buah kapal perang baharu yang dibina syarikat tempatan, PT PAL Indonesia bagi memperkuat armada laut perairan Indonesia timur.
Kapal tempur laju 60 meter (KCR-60M) ini juga merupakan kapal kelima dan keenam dalam kelas tersebut yang berjaya disiapkan PT PAL Indonesia.
Dua kapal berkenaan diberi nama KRI Kapak (625) dan KRI Panah (626) iaitu sempena nama senjata tradisional suku Asmat Papua Barat.
Majlis penamaan kapal itu disempurnakan oleh Ketua Staf Angkatan Laut, Laksamana Muhammad Ali di limbungan syarikat perkapalan itu di Surabaya kelmarin.
Penyerahan aset baharu ini memperkukuhkan lagi sistem pertahanan Indonesia dan kemampuan tentera laut sebagai komponen utama keselamatan negara.
Kapal ini dilengkapi meriam utama Bofors 57mm MK3, dua meriam 20mm, peluru berpandu antikapal Exocet 40MM Block 3 serta Terma C-Guard Decoy Launching System.
Exocet MM40 Block 3 dengan jarak antara 70 kilometer (km) hingga 180km merupakan senjata pembunuh kapal yang digeruni.
PT PAL Indonesia sebelum ini telah menyiapkan empat buah KCR-60M yang dibina dalam dua kumpulan iaitu pada 2014 dan 2019.
Kontrak bagi program KCR-60M lima dan enam ini pula dimeterai pada tahun 2019 yang mana pembinaan kapal dimulakan pada tahun sama walaupun semasa situasi pandemik Covid-19.
Kesemuanya sebanyak 18 buah kapal KCR-60M ini dirancang untuk dibina.
Penyerahan aset ketenteraan baharu ini juga menyaksikan PT PAL Indonesia berjaya menyempurnakan tanggungjawab yang diberi kerajaan republik itu.
Kedua-dua kapal tersebut juga berjaya semasa menjalani ujian fungsi di lautan dan merekodkan keupayaan yang baik.
Sementara itu, Direktur Utama PT PAL Indonesia, Kaharuddin Djenod memberitahu, KRI Kapak dan KRI Panah merupakan projek KCR-60M pertama yang efektif dalam satu kontrak.
Ia meliputi kontrak membina kapal dan pemasangan senjata.
Dua kapal ini juga lebih baik berbanding empat terdahulu apabila terdapat penambahbaikan pada rekabentuk dan keupayaan sepertimana ditetapkan pihak tentera laut. - DagangNews.com