KUALA LUMPUR 8 Sept - Kapal sokongan logistik (LSD) Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS Pearl Harbor berada di Malaysia bagi menjayakan siri latihan Eksesais Pacific Partnership 2023 (EPP 2023).
Malaysia merupakan negara ketiga destinasi EPP 2023 selepas Vietnam dan Filipina.
USS Pearl Harbor, kapal seberat 16,000 tan ini berlabuh di Pelabuhan Kuantan New Deep Water Terminal Kuantan, Pahang bersama kira-kira 24 pegawai dan 390 kru.
AS mempunyai empat buah kapal LSD kelas Harpers Ferry ini yang biasanya berperanan membawa dan menghantar kelengkapan termasuk logistik.
Kapal yang boleh memuatkan kira-kira 500 tentera ini juga boleh diperanakann sebagai hospital terapung.
Turut berlabuh sama ialah kapal pendarat kereta kebal (LST) Tentera Laut Korea Selatan, ROK CheonJaBong yang juga terlibat dalam eksesais ini.
Kapal seberat 7,000 tan bersama 120 kru merupakan satu daripada empat kapal kelas Cheon Wang Bong yang dibina oleh firma perkapalan Korea Selatan, Hanjin Heavy Industries.
EPP 2023 merupakan eksesais tahunan di bawah inisiatif oleh United State Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) dan dilaksanakan oleh United State Pacific Fleet (USPACFLT).
Eksesais berkonsepkan bantuan kemanusiaan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) dan merupakan latihan HADR terbesar di rantau Indo-Pasifik.
Ia pertama kali dilaksanakan pada tahun 2006 berikutan kejadian bencana tsunami yang melanda Acheh, Indonesia pada akhir tahun 2004.
Penglibatan pertama Malaysia dalam eksesais ini adalah pada tahun 2016 di Kuantan, Pahang dan Mersing, Johor diikuti 2019 di Kuching, Sarawak
Latihan ini bertujuan untuk mempertingkatkan daya saling operasi dan keupayaan dalam menghadapi bencana di peringkat serantau.
Bagi siri latihan di Malaysia, ia melibatkan penyertaan 1,500 anggota dari Australia, Kanada, Chile, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, AS dan United Kingdom.
Eksesais ini juga melibatkan beberapa agensi awam seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, polis, Maritim Malaysia, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Rakyat.
EPP 2023 akan berlangsung selama 10 hari sehingga 15 September ini di sekitar Kuantan. - DagangNews.com