Kastam terima 42 transaksi lebihan bayaran cukai GST setakat 3 Ogos | DagangNews Skip to main content

Kastam terima 42 transaksi lebihan bayaran cukai GST setakat 3 Ogos

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang berusaha untuk menuntut semula lebihan bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi tahun 2019 yang berjumlah RM4.38 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, setakat 3 Ogos lalu, pihaknya telah menerima 42 daripada 75 transaksi bagi pembayaran balik cukai berkenaan.

“Kami telah mengumpul 42 transaksi yang berjumlah RM798,453.64 setakat 3 Ogos tahun ini,” katanya seperti dipetik MalayMail.

Beliau yakin dapat mengutip baki lebihan bayaran itu sebanyak RM3.58 juta dalam masa terdekat.

 

Johari
Johari Alifiah

 

Baru-baru ini, Pengauditan Jabatan Audit Negara terhadap JKDM mendapati jabatan itu telah membuat lebihan bayaran balik terhadap tuntutan GST bagi 2019.

Sementara itu, JKDM mencatatkan kerugian sebanyak RM812 juta akibat “ketirisan hasil’ pada separuh pertama tahun 2020.

Johari berkata, perkara itu adalah berikutan penilaian yang rendah, pengelakan cukai, penipuan komersial dan tuntutan cukai yang berlebihan.

Pihaknya ketika ini dalam proses untuk menuntut semula ketirisan hasil tersebut secara sekali gus atau menerusi pembayaran ansuran daripada syarikat terlibat.

“Kami biasanya boleh dapat kembali 85% daripada keritisan hasil tersebut tetapi terdapat beberapa kes yang akan mengambil masa lama sekiranya ia dibawa ke mahkamah,” katanya.

JKDM boleh menuntut semula ketirisan hasil sejak enam tahun lalu di bawah Seksyen 100A(3) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 41B(3) Akta Eksais 1976.

Bagaimanapun, tiada had tempoh bagi kes palsu.

Angka berkenaan juga telah melebihi separuh daripada jumlah ketirisan hasil yang dicatatkan pada tahun 2019. - DagangNews.com