Kaunter sarung tangan getah kembali curi perhatian di Bursa | DagangNews Skip to main content

Kaunter sarung tangan getah kembali curi perhatian di Bursa

 

ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 14 Okt. - Kes COVID-19 di negara ini yang mencecah 16,880 dengan kes baharu 660 setakat semalam kembali melonjakkan kaunter-kaunter berkaitan sarung tangan getah di Bursa Malaysia. 

Ini berikutan permintaan semakin meningkat bagi sarung tangan getah di sebalik lonjakan kes baharu hingga mendorong perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) kembali dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Sabah. 

Setakat 11.23 pagi ini, saham Comfort Gloves Berhad naik 9.34% kepada RM4.80 dengan nilai permodalan pasaran RM2.9 bilion manakala Rubberex Corp (M) Bhd menokok 4.32% kepada RM7.72 dengan nilai permodalan pasaran RM2.14 bilion. 

Sementara itu, saham Careplus Group Bhd. melonjak 6.45% kepada RM3.96 dengan nilai permodalan pasaran RM1.85 bilion dan Supermax Corp. Bhd. pula naik 1.96% kepada RM10.38 dengan nilai permodalan pasaran RM26.14 bilion. 

Bagi Kossan Rubber Industries Bhd. pula, harga sahamnya meningkat 2.53% kepada RM7.7 dengan nilai permodalan pasaran RM19.06 bilion. 

Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), dalam nota kajiannya sebelum ini berkata, Supermax dan Kossan kini merupakan saham ke-20 dan ke-24 terbesar di Bursa Malaysia. 

"Ini mencerminkan bahawa landskap pandemik COVID-19 akan terus meningkatkan permintaan terhadap sektor sarung tangan getah yang dijangka mencatat keuntungan," katanya. 

Firma penyelidikan HLIB Research pula menjangkakan pendapatan pengeluar sarung tangan getah bagi tahun kewangan 2021 akan dijana menerusi peningkatan permintaan sarung tangan getah. - DagangNews.com