Kaunter tenaga, teknologi dorong KLCI dibuka tinggi | DagangNews Skip to main content

Kaunter tenaga, teknologi dorong KLCI dibuka tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Pasaran ekuiti tempatan berjaya dibuka lebih tinggi didorong oleh kaunter tenaga dan teknologi yang memacu pergerakan dagangan awal pagi ini. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 9.35 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,557.55 kepada 1,566.90. 

 

Berdasarkan data yang disediakan oleh malaysiastock.biz, FBM KLCI menyaksikan sebanyak 457 kaunter untung dan 144 kaunter rugi setakat 9.25 pagi ini. 

 

Antara saham yang menyaksikan lonjakan awal termasuk Malaysian Pacific Industries Berhad, Press Metal Aluminium Holdings Berhad, DRB-Hicom Berhad, Inari Amertron Berhad dan Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad.

 

Semalam, FBM KLCI sekali lagi tewas kepada penjualan lewat yang majoritinya melibatkan kaunter sarung tangan getah. 

 

Dalam pada itu, dagangan FBM KLCI pada pagi ini turut didorong oleh prestasi pasaran saham di Amerika Syarikat (AS) yang melonjak semalaman. 

 

Menurut Bloomberg, saham-saham Asia dan niaga harapan AS meningkat pada hari ini selepas S&P 500 melonjak didorong oleh berita vaksin dan maklum balas yang positif oleh Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell berhubung data inflasi. 

 

S&P 500 melonjak walaupun saham-saham teknologi lemah dengan lonjakan sektor perbankan mendorong industri itu mencecah paras tertinggi sejak 2007. 

 

Sementara itu, kebanyakan ekuiti Asia menokok dengan Jepun dan Korea Selatan berprestasi jauh lebih baik, jelas Bloomberg. - DagangNews.com