KDN minta BNM ketatkan syarat buka akaun bank | DagangNews Skip to main content

KDN minta BNM ketatkan syarat buka akaun bank

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Bank Negara Malaysia (BNM) supaya memperketatkan syarat pembukaan akaun bank.

Gesaan itu dilakukan bagi menangani kes penipuan dalam talian yang dilihat kian meningkat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dalam masa sama turut meminta syarikat telekomunikasi untuk menyalurkan identiti dan maklumat pemilik akaun dengan segera yang melibatkan pemanggil jenayah penipuan. 

 

Datuk Seri Ismail Mohamed Said
Ismail Mohamed Said

 

"Perkara ini dalam perhatian serius Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana jenayah penipuan semakin meningkat, pastinya melibatkan dan menjejaskan sedikit sebanyak ekonomi negara kita,” katanya ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bashir Alias yang mengutarakan soalan mengenai cabaran dihadapi PDRM dalam menangani kes-kes penipuan dalam talian di Malaysia.

Jelas Ismail, pihaknya sering berdepan dengan masalah pengecaman identiti pemanggil kerana tidak dapat kenal pasti sama ada nombor telefon yang digunakan didaftar di Malaysia atau luar negara.

Bukan itu sahaja, pemanggil juga selalu berhubung melalui internet dan juga ‘Voice Over Internet Protocol’ (VoIP). 

Tambah Ismail, pelbagai usaha dilakukan KDN termasuklah mewujudkan portal ccid.rmp.gov.my/semakmule.

Portal itu membolehkan orang ramai membuat semakan sekiranya akaun bank individu terbabit pernah dilaporkan kepada polis. - DagangNews.com