Kebanyakan PKS sudah tenat, perlu bantuan kerajaan | DagangNews Skip to main content

Kebanyakan PKS sudah tenat, perlu bantuan kerajaan

SHAH ALAM 10 Jun - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) memohon kerajaan Selangor diskaun 50% sehingga akhir tahun untuk semua bayaran lesen perniagaan untuk semua PKS di negeri Selangor bagi membantu pemulihan akibat pandemik COVID-19 ini.

 

Selain itu, kerajaan negeri diminta meningkatkan dana Geran Padanan Digitalisasi PKS dari RM5 juta sekarang kepada RM10 juta untuk memanfaatkan 2,000 PKS di seluruh negeri, serta melonggarkan syarat untuk merangkumi PKS dengan perolehan jualan tahunan tidak melebihi RM5 juta.

 

Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan SAMENTA, Datuk William Ng berkata, perlu diingatkan bahawa PKS menggaji hampir separuh daripada seluruh rakyat Selangor.

 

"Sekiranya PKP penuh diteruskan tanpa sebarang bantuan dari kerajaan, sepertiga PKS mungkin menggulung tikar," kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

SAMENTA kata beliau, menyambut baik pengumuman Pakej Kita Selangor 2.0 oleh Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari untuk membantu rakyat dan PKS di negeri Selangor untuk mengharungi wabak COVID-19 ini dengan penuh maruah dan harapan.

 

Selain sebahagian besar peruntukan ditujukan untuk keluarga B40, warga emas dan pekerja ekonomi gig, kerajaan negeri turut memperuntukkan dana tambahan untuk meneruskan program untuk PKS seperti Platform Selangor (PLATS).

 

"Sebilangan besar inisiatif yang diumumkan bersifat ‘one-off’ dan nampaknya ditujukan untuk peniaga mikro.

 

"Ini mungkin disebabkan oleh salah tanggapan bahawa PKS lebih kuat dari segi kewangan. Hakikatnya, PKS di Selangor mempunyai kos yang jauh lebih tinggi berbanding dengan peniaga mikro, menggajikan lebih ramai rakyat Selangor dan kebanyakannya sudah ‘tenat’ akibat PKP berterusan semenjak 18 Mac 2020," kata Ng.

 

Samenta
William Ng

 

SAMENTA juga menyatakan sokongan penuh ke atas Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor atau SCVP dan program POIS (Prevention of Outbreak at Ignition Sites).

 

"Kedua-dua program ini akan dapat membantu kita mengurangkan kesan terhadap ekonomi negeri dari oleh wabak ini.

 

"Kami turut mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Khas Pematuhan Kawalan Kesihatan bagi Industri dan akan bekerjasama dengan jawatankuasa tersebut untuk mengekang penularan Covid-19 di tapak industri serta mempercepatkan vaksinasi ‘economic frontliner’ kita," kata Ng. - DagangNews.com