Kebenaran 80% tenaga kerja peluang PIE Industrial kembali ke landasan pertumbuhan | DagangNews Skip to main content

Kebenaran 80% tenaga kerja peluang PIE Industrial kembali ke landasan pertumbuhan

P.I.E Industrial Berhad (PIE). Kredit gambar The Malaysian Reserve

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Peningkatan jumlah tenaga kerja kepada 80% membolehkan syarikat P.I.E Industrial Berhad (PIE) untuk kembali ke landasan pertumbuhan pendapatan suku tahunan syarikat.

 

Kenanga Research berkata, kebenaran yang diperoleh itu susulan daripada peralihan Pulau Pinang ke Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

"PIE dapat meningkatkan jumlah tenaga kerjanya kepada 80%, ini menjadikan kumpulan tersebut kembali ke landasan untuk meneruskan tren pertumbuhan pendapatan suku tahunan.

 

"Perkara itu juga seiring dengan prestasi yang lebih baik bagi separuh kedua.

 

"Dalam pada itu, seluruh tenaga kerja kumpulan juga telah menerima suntikan dos pertama melalui Pikas dan akan mendapat suntikan dos kedua pada akhir bulan ini," jelas Kenanga Research.

 

Bagi rekod, PIE Industrial berjaya mencatatkan jumlah keuntungan bersih sebanyak RM13.4 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) meskipun terpaksa beroperasi dengan tenaga kerja sebanyak 60%.

 

Keuntungan yang diraih itu meningkat 11% berbanding suku sebelumnya sekali gus menjadikan keuntungan bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2021 (6MFY21) kepada RM25.4 juta).

 

Bagi laporan pendapatan pula syarikat berkenaan merekodkan peningkatan pendapatan 111.4% pada suku kedua 2021 berbanding tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh separuh pertama 2021 turut meningkat sebanyak 135.1% kepada RM498.5 juta disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi daripada pelanggan baharu dan sedia ada.

 

Mengulas perkara itu, MIDF Research memberitahu, pendapatan yang diraih syarikat berkenaan pada separuh pertama tahun kewangan 2021 adalah lebih rendah daripada jangkaan pihaknya.

 

Susulan pendapatan yang lebih rendah itu, MIDF Research mengambil pendekatan menyemak turun pendapatan tahun kewangan 2021 sebanyak -8.11% kepada RM46.2 juta.

 

"Bagaimanapun, unjuran perolehan FY22 dan FY23 disemak naik masing-masing kepada RM65.0 juta dan RM67.0 juta," jelas MIDF Research. - DagangNews.com