PADANG TERAP 7 Feb - Kedah Rubber City (KRC) bakal menarik pelaburan berpotensi bernilai RM10 bilion dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.
Menurut beliau, projek ini bakal memberi pelbagai limpahan manfaat kepada masyarakat setempat dan walaupun baharu sahaja dilancarkan, KRC sehingga kini telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal menjana hampir 7,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.
Sebagai contoh ujar beliau, kerjasama strategik di antara Mitsui & Co (Malaysia) Sdn Bhd dengan Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) melibatkan pelaburan bernilai kira-kira RM3 billion untuk KRC.
Kerjasama ini juga ujar beliau, akan mengukuhkan rantaian bekalan bahan mentah dalam pembuatan polimer NBL dengan kepakaran Mitsui dalam industri ini.
''Pelaburan ini bukan sahaja bakal mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan baharu tetapi juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import polimer NBL kerana Hong Seng akan memindahkan teknologi canggih baharu yang diperolehi kepada negara.
''Selain kerjasama strategik ini, kita bakal menyaksikan sembilan pertukaran dokumen perjanjian, surat niat dan memorandum persefahaman (MoU) di antara pelabur dengan NCIA serta agensi Kerajaan yang lain.
''Saya amat mengalu-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada pelabur yang memberikan sokongan untuk menjayakan projek nasional ini,'' katanya pada majlis perasmian Projek Strategik NCER – Kedah Rubber City di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, pembangunan keseluruhan KRC meliputi kawasan seluas 1,244 ekar, yang merangkumi 496 ekar untuk Fasa 1 dan 748 ekar untuk Fasa 2.
Kerja-kerja fizikal pembangunan projek KRC oleh pihak NCIA berjalan lancar seperti yang dijadualkan, yang mana Fasa 1 projek telah pun siap dan bersedia untuk menerima kemasukan pelabur.
''Sehubungan itu, saya berharap agar pelabur dari dalam dan luar negara akan merebut peluang ini untuk menempatkan operasi mereka di KRC.
''Kerajaan Persekutuan dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM417.5 juta untuk Fasa 1 projek KRC,'' katanya.
Beliau berkata, berdasarkan 8 kemajuan yang memberangsangkan di bawah Fasa 1, Fasa 2 projek KRC akan dilaksanakan pada tahun 2023.
''Sebagai seorang anak penoreh getah, saya amat berbesar hati kerana projek KRC ini bakal memberi manfaat kepada pekebun kecil getah di negeri ini.
''Walaupun Kedah merupakan salah satu kawasan penanaman getah yang penting di tanah air, namun industri getah di negeri ini kebanyakannya masih tertumpu kepada aktiviti bernilai rendah dengan saluran pemasaran yang terhad.
''Ini mengakibatkan ramai pekebun kecil masih dibelenggu dengan pendapatan yang rendah dan kemiskinan,'' kata beliau.
Justeru, Projek KRC akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan memastikan permintaan yang berterusan untuk bekalan getah asli mereka, di samping menstabilkan harga getah melalui penggunaan getah asli secara optimum dengan penghasilan produk-produk hiliran yang bernilai tambah.
Di samping itu juga, projek KRC ini akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu untuk penduduk setempat.
Sehubungan itu kata Perdana Menteri, NCIA akan bekerjasama dengan RISDA bagi memaju dan membangunkan masyarakat pekebun kecil getah tempatan, yang berpotensi memberi manfaat kepada 73,642 pekebun kecil negeri Kedah, termasuklah 11,190 pekebun kecil dari daerah Padang Terap.
''Kerjasama ini amat dialu-alukan agar agenda strategik NCER dapat dicapai demi kemakmuran rakyat di pelbagai peringkat.
''Rakyat setempat akan turut berpeluang mengambil bahagian melalui program-program modal insan berteraskan Keluarga Malaysia untuk menangani kemiskinan seperti program peningkatan kemahiran dan keusahawanan yang disediakan oleh NCIA seperti empowerNCER dan entrepreneurNCER.
''Mereka kini boleh mengambil bahagian dalam aktiviti rantaian bekalan penggiat industri yang bakal beroperasi di KRC khususnya, dan di negeri Kedah, amnya,'' kata Perdana Menteri.
Ismail Sabri berkata, kesemua ini adalah sejajar dengan sasaran sifar miskin tegar menjelang tahun 2025 seperti mana yang digariskan di dalam dokumen RMK-12. Ia juga adalah selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia bagi memastikan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk seluruh rakyat.
Kerajaan turut menyedari kepentingan peranan institusi kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan terutamanya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini.
''Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa Maybank dan Agrobank secara terkumpul telah memberikan pembiayaan sebanyak RM223.8 juta untuk 16,600 PMKS sejak 2019.
''Dua buah bank iaitu CIMB dan AFFIN Bank akan turut bekerjasama dengan NCIA bagi program yang sama. Dengan penglibatan keempat-empat bank tersebut, lebih 22,500 PMKS lagi disasarkan akan mendapat manfaat daripada program ini sepanjang tempoh RMK-12,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com