Kedudukan F&N kukuh di sebalik cabaran pandemik - MIDF | DagangNews Skip to main content

Kedudukan F&N kukuh di sebalik cabaran pandemik - MIDF

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Prospek Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dijangka kekal stabil di sebalik tekanan kos input yang dialami kumpulan dalam masa terdekat. 

 

Penganalisis MIDF Research, Ng Bei Shan berkata, kumpulan juga dijangka meraih semula jualannya apabila pola penggunaan beralih setelah persekitaran mencabar disebabkan situasi pandemik yang berterusan di Malaysia dan Thailand.  

 

"Menuju ke masa depan, kami berpendapat, penggunaan akan kembali meningkat apabila ekonomi dibuka semula.

 

"Ini kerana F&N berjaya meningkatkan pertumbuhan jualan semasa pandemik ini dan menguruskan kos dengan baik walaupun terdapat persekitaran mencabar, yang menjadikan mereka berada pada kedudukan terbaik apabila keadaan semakin pulih," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2021, untung bersih F&N meningkat kepada RM96.16 juta berbanding RM93.85 juta yang direkodkan semasa suku yang sama tahun sebelum ini.

 

Perolehan menokok kepada RM1.06 bilion daripada RM918.07 juta diraih menerusi sumbangan sulung dari anak syarikatnya yang baru diambil alih, Sri Nona.

 

Pendapatan daripada segmen makanan dan minuman (F&B) Malaysia untuk suku ketiga 2021 naik 17.1% kepada RM540.2 juta daripada RM461.4 juta sebelumnya berikutan peningkatan jualan domestik menjelang Hari Raya Aidilfitri, musim perayaan tuaian dan Bazar Ramadan.

 

F&B Thailand turut menyaksikan prestasi yang sangat memberangsangkan selepas pendapatannya melonjak 13.6% kepada RM517.9 juta menjelang suku ketiga 2021 daripada RM455.8 juta pada suku ketiga 2020, tetapi diimbangi oleh transaksi baht-ringgit yang tidak menguntungkan.

 

Bagaimanapun, kumpulan menjelaskan ia tetap berhati-hati dalam unjurannya memandangkan keadaan pasaran yang masih mencabar berikutan peningkatan kes COVID-19 di pasaran utamanya.

 

MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan unjuran bagi pendapatan F&N dan berpendapat kedudukannya kukuh untuk menangani cabaran dalam tempoh singkat seperti kenaikan harga komoditi dan kos pengangkutan.

 

"Kami melihat F&N akan terus berkembang kukuh apabila penggunaan kembali pulih," tambahnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'trading buy' ke atas saham F&N dengan harga sasaran kekal tidak berubah pada RM32.63. Hasil dividen pula dianggar sekitar 2.5%. 

 

Setakat 9.10 pagi ini, saham F&N antara yang mendahului kaunter untung menokok 12 sen kepada RM24.56 dengan 1,400 saham diniagakan. - DagangNews.com