Kedudukan kewangan DRB-HICOM berdepan isu ekoran 'lockdown' | DagangNews Skip to main content

Kedudukan kewangan DRB-HICOM berdepan isu ekoran 'lockdown'

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - DRB-HICOM Berhad, syarikat induk Proton dan Pos Malaysia Berhad dijangka menyaksikan pemulihan perolehan yang lebih perlahan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya atau 'lockdown' dilaksanakan semula. 

 

Susulan itu, penganalisis di CGS-CIMB Research, Mohd Shanaz Noor Azam menyemak turun penarafan ke atas saham kumpulan berkenaan daripada ‘tambah’ kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada kadar RM1.95 sesaham. 

 

Katanya, prestasi suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21) yang dicatatkan kumpulan lebih rendah daripada unjuran CGS-CIMB ekoran kerugian yang lebih besar dicatatkan oleh Pos Malaysia.

 

“Kami melihat prospek yang mencabar dalam masa terdekat ini buat kumpulan susulan pelaksanaan semula ‘lockdown’ sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu pada Jun 2021. 

 

“Kami menyemak turun perolehan sesaham (EPS) FY21 hingga FY23 sebanyak 17% hingga 40% memandangkan kami meramalkan kerugian lebih besar dicatatkan oleh Pos Malaysia susulan permintaan lemah dalam segmen penerbangan dan logistik.

 

“Dalam pada itu, kami menjangkakan sumbangan lebih rendah dari DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DefTech) memandangkan terdapat kemungkinan berlakunya kelewatan dalam penghantaran kenderaan perisai AV8 dari 2021 hingga 2022. Kumpulan masih lagi mempunyai 42 unit AV8 yang perlu dihantar menjelang penghujung 2022,” jelas Mohd Shanaz dalam satu nota kajian. 

 

DRB-HICOM mencatatkan kerugian bersih utama mencecah RM22 juta pada suku tahun semasa, sebahagiannya disebabkan oleh kerugian lebih besar dari Pos Malaysia di mana kumpulan mempunyai kepentingan 53.5%. 

 

Kumpulan juga terjejas oleh penghantaran kenderaan perisai yang lebih rendah memandangkan DefTech hanya menghantar dua unit AV8 pada suku tahun berkenaan.

 

Di sebalik prestasi kurang memberangsangkan itu, Proton bagaimanapun terus meningkatkan penguasaan pasarannya pada tempoh sama dengan 49% peningkatan jumlah jualan kepada 32,420 unit berbanding tahun lalu. 

 

Tambah Mohd Shanaz, Proton masih lagi mempunyai tunggakan tempahan yang besar untuk memacu jumlah jualannya pada separuh kedua tahun 2021 (2H21). 

 

“Bagaimanapun, kami melihat penangguhan penghantaran kenderaan akan berlanjutan susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula ‘lockdown' sekurang-kurangnya dua minggu pada Jun 2021. 

 

“Di bawah penguatkuasaan semula ‘lockdown’, kilang automotif tidak dibenarkan beroperasi kecuali bagi tujuan penyelenggaraan kelengkapan dan senggaraan. Ini mungkin memberi impak ke atas jumlah jualan Proton pada Jun 2021,” tambah beliau lanjut.

 

Dalam perkembangan lain, penganalisis di Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz melihat usaha transformasi Pos Malaysia yang berterusan akan menambah baik kadar tarif dan permintaan untuk e-perdagangan yang semakin meningkat.

 

Katanya lagi, perniagaan-perniagaan lain dalam DRB-HICOM akan terus dapat menyesuaikan ‘diri’ dalam persekitaran kebiasaan baharu bagi memastikan kewangannya mampan. - DagangNews.com