Kehadiran pelancong asing dorong peningkatan pendapatan Padini - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kehadiran pelancong asing dorong peningkatan pendapatan Padini - Kenanga Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kehadiran pelancong asing selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa dilihat akan mendorong peningkatan pendapatan Padini Holding Berhad selain perbelanjaan berterusan daripada golongan pertengahan yang kekal menjadi sasaran utama kumpulan itu.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research kekal berhati-hati dengan situasi inflasi semasa yang jika tidak diuruskan dengan baik akan memberi kesan kepada kuasa membeli pengguna termasuk pembelian baju.

 

"Kumpulan itu juga merancang untuk membuku antara empat ke lima cawangan Brand Oulet serta Padini baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan perbelanjaan modal sekitar RM20 juta.

 

"Pembukaan cawangan baharu itu akan menjadi pemacu utama kepada pendapatan kumpulan bagi FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan untung bersih tertinggi sebanyak RM77.46 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2022 (4QFY22), tujuh kali lebih tinggi berbanding RM10.5 juta untuk suku sama tahun lalu.

 

Dua suku tahun sebelum ini, peruncit fesyen tempatan itu mengumumkan bahawa untung bersihnya mencapai rekod tertinggi RM60.89 juta pada 2QFY22, dirangsang oleh pembukaan semula penuh ekonomi selepas pemberian vaksin COVID-19 pada tahun lalu.

 

Firma itu juga menyemak naik pendapatan kumpulan sebanyak 28% berdasarkan kepada prestasi cemerlang pada FY22 dan ia dilihat akan kekal dalam masa terdekat.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM4.10.

 

Pada masa sama, firma itu menjangkakan saingan daripada jenama baharu dan sedia ada selain peningkatan inflasi yang akan mengganggu kuasa membeli pengguna.

 

"Selain itu, mereka juga berhadapan risiko sekatan pergerakan sekiranya pandemik kembali berulang," katanya. - DagangNews.com