Kehadiran Pemulih stabilkan ekonomi semasa 'lockdown' | DagangNews Skip to main content

Kehadiran Pemulih stabilkan ekonomi semasa 'lockdown'

 Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Kehadiran pakej rangsangan ekonomi terbaharu iaitu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dilihat sebagai langkah menstabilkan ekonomi dalam tempoh 'lockdown'.

 

CGS-CIMB Research berkata, pakej berkenaan bagaimanapun tidak dilihat sebagai pemangkin kepada pemulihan.

 

"Dalam usaha memerangi kes COVID-19 harian yang tinggi dan kapasiti penjagaan kesihatan yang kian terhad, Pemulih mengembalikan banyak langkah penstabilan ekonomi Malaysia yang paling agresif.

 

"Walaupun pakej rangsangan itu hanya mengurangkan sementara impak bertindih daripada pelaksanaan 'lockdown' Fasa 1 sehingga penghujung tahun ini, namun landasan pemulihan buat perniagaan yang terjejas dan tenaga buruh masih lagi belum jelas. 

 

"Ini seterusnya akan mengehadkan ‘kebangkitan’ semula ekonomi Malaysia pada tahun hadapan," jelas CGS-CIMB Research.

 

Pakej rangsangan ekonomi Pemulih yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bertujuan untuk memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dengan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu 'Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi'.

 

Baca: PM umum pakej rangsangan baharu, Pemulih bernilai RM150 bilion

 

Pemulih menyaksikan nilai keseluruhan sebanyak RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

 

Mengulas berkaitan ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya mengekalkan ramalan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4% pada 2021 dan 4.7% pada 2022.

 

Dalam nota kajian sama, CGS-CIMB Research turut menyentuh berkaitan dengan pengumuman moratorium pinjaman selama enam bulan yang dibuat secara automatik melalui Pemulih.

 

Pihaknya memberitahu, langkah tersebut dijangka tidak akan mempengaruhi pendapatan institusi perbankan dengan ketara.

 

Ini kerana institusi perbankan akan terus memperoleh faedah daripada pinjaman berkenaan. 
 

Sementara itu, AmBank Research yang mengulas perkara sama memberitahu, kehadiran Pemulih semenangnya membantu mengekalkan momentum ekonomi negara.

 

Keadaan itu membolehkan ekonomi negara diunjur berkembang antara 4.0% dan 4.5%.

 

Tambah AmBank Research, dengan suntikan tambahan fiskal sebanyak RM10 bilion, penerbitan bos semasa sebanyak RM160 bilion dijangka meningkat kepada RM160 bilion hingga RM165 bilion.

 

Ringgit juga turut mengukuh 0.23% kepada 4.147 selepas Perdana Menteri mengumumkan satu lagi pakej rangsangan bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas.

 

Ringgit didagangkan antara 4.153 dan 4.157. - DagangNews.com