Kejuruteraan Asastera raih projek solar di Thailand bernilai RM46.8 juta | DagangNews Skip to main content

Kejuruteraan Asastera raih projek solar di Thailand bernilai RM46.8 juta

KUALA LUMPUR 22 Mac - Kejuruteraan Asastera Bhd. (KAB) menerusi anak syarikat tidak langsungnya, KAB Gree Solar Thai Co. Ltd. memeterai 5 perjanjian pembelian tenaga (PPA) dan pembinaan sistem penjanaan tenaga solar atas bumbung bernilai RM46.8 juta dengan jumlah kapasiti dianggarkan 4,284 kWp di Thailand.

 

Menerusi perjanjian itu, antara lain, membolehkan KAB untuk membina, memasang, mengendalikan dan menyelenggara sistem solar Fotovoltaik Bersambung Grid (GCPV) untuk Siam Machinery and Equipment Co.
Ltd. dan 4 anak syarikat Aapico Group of Companies (Aapico Ayutthaya). 

 

Anak syarikat tersebut ialah Aapico Hitech Public Company Limited, Aapico Hitech Parts Company Limited, Aapico Hitech Tooling Company Limited, dan Able Sanoh Industries (1996) Company Limited.

 

Dengan tempoh kontrak melebihi 25 tahun untuk mengendalikan dan menyelenggara sistem solar GCPV, ia memberi jumlah penjimatan kepada pelanggan sehingga 135,433 megawatt. 

 

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, kumpulan secara aktif telah membangunkan pangkalan yang kukuh dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE) di Thailand.

 

Katanya, pemeteraian PPA itu menunjukkan usaha berterusan kumpulan dalam sektor RE di negara tersebut sejajar dengan komitmen KAB untuk menambah aliran pendapatan berulang, di samping mengukuhkan penyertaan dalam industri berkenaan.

 

"Pada masa sama, kami juga sedang meninjau beberapa projek dalam perancangan kumpulan dan yakin akan mendapatkannya dalam masa terdekat, bagi meningkatkan kesinambungan aliran pendapatan berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Setakat Februari 2022, KAB memiliki jumlah kapasiti sebanyak 12,695 kWp bagi projek solar termasuk 5,073 di Thailand manakala 7,622 kWp di Malaysia. 

 

Perjanjian PPA baharu itu akan meningkatkan jumlah kapasiti kepada 16,979 kWp, yang mana Thailand merangkumi 55% daripada jumlah pemasangan kapasiti projek solar KAB. - DagangNews.com