Kejutan baharu Apple 10 November ini | DagangNews Skip to main content

Kejutan baharu Apple 10 November ini

Jemputan media yang diedarkan oleh Apple untuk majlis pelancaran pada 10 November nanti.

Jemputan media yang diedarkan oleh Apple untuk majlis pelancaran pada 10 November nanti.
 

 

 

NEW YORK 3 Nov. - Syarikat pengeluar teknologi Apple Inc. (Apple) dijangka akan membuat satu lagi kejutan untuk tahun 2020.

Meskipun baru sahaja melancarkan model iPhone terbaharu iaitu iPhone 12 pada 14 Oktober lalu, Apple dilihat bakal membuat pelancaran produk baharu keluarannya pada 10 November nanti.

Menerusi jemputan media yang diedarkan kepada wartawan pada Isnin, Apple bagaimanapun tidak mendedahkan berkaitan produk pelancarannya.

Jemputan untuk pelancaran itu hanya memaparkan cogan kata 'One More Thing' yang sering digunakan syarikat berkenaan apabila ingin membuat pelancaran berskala besar, lapor CNN.

Susulan itu, orang ramai tidak dapat menjangkakan produk baharu yang akan dilancarkan oleh Apple.

Bagaimanapun, penganalisis teknologi memberi pandangan terhadap produk yang dijangka akan dilancarkan pada tarikh berkenaan.

Menurut penganalisis itu, Apple berkemungkinan akan melancarkan cip ARM yang direka khas oleh Apple untuk digunakan dalam perisian iPhone dan iPad.

Cip berkenaan mampu meningkatkan kapasiti dan hayat bateri yang lebih lama selain dapat diintegarasikan oleh semua peranti elektronik.

Acara pelancaran itu akan menjadi pelancaran ketiga Apple bagi tahun 2020.

Pelancaran yang dijadualkan pada 10 November nanti akan disiarkan secara langsung menerusi laman web rasmi syarikat berkenaan tepat pukul 10 pagi (PST).

Menyingkap pelancaran produk Apple, syarikat itu telah mengeluarkan beberapa pilihan produk kepada penggunanya dalam tempoh terdekat seperti empat varian iPhone 12, iPhone SE, iPad baharu, MacBook serta dua model Apple Watch. - DagangNews.com