Kekalkan kadar rendah jenayah dan tangani pasaran gelap untuk lonjak pertumbuhan ekonomi Sarawak | DagangNews Skip to main content

Kekalkan kadar rendah jenayah dan tangani pasaran gelap untuk lonjak pertumbuhan ekonomi Sarawak

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Dis – Komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengekalkan kadar rendah jenayah boleh disokong menerusi lebih banyak inisiatif untuk menangani jenaya ekonomi seperti rokok seludup bagi mencapai pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran yang lebih lagi,

 

Bekas Ketua Polis Negeri Sarawak, Datuk Dr Yusoff Nook berkata, kadar jenayah di Sarawak adalah di bawah purata nasional, dan ini adalah gambaran usaha Kerajaan Negeri yang bekerja rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang bagi menjaga kehidupan dan harta di negeri ini.

 

Beliau berkata, hubungan kerja yang baik ini hendaklah dikekalkan, malah dicontoh oleh negeri-negeri lain.

 

Menurutnya, laporan-laporan menunjukkan indeks jenayah Sarawak pada 2020 telah menurun kepada 5,874 kes berbanding 6,024 kes pada 2019.

 

"Melangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri dan agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan hendaklah meneliti kaedah untuk menangani jenayah ekonomi bagi menutup ketirisan kepada ekonomi negeri dan melindungi perniagaan daripada menanggung kerugian akibat perbuatan jenayah.

 

‘’Kes jenayah komersial di Sarawak menyaksikan peningkatan kepada 1,462 kes pada 2020 berbanding 1,340 kes pada 2019,’’ kata beliau bersempena Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang bakal berlangsung 18 Disember ini.


 

Yusuf Nook
                      Datuk Dr Yusoff Nook

 


Dr. Yusoff menegaskan jenayah ekonomi bukan suatu jenayah yang tidak ada mangsa.

 

"Satu kes utama yang harus diberi perhatian ialah Sarawak merupakan satu daripada negeri yang memiliki kadar rokok seludup tertinggi di Malaysia. 9 daripada 10 rokok yang dijual di Sarawak adalah rokok seludup dan tidak dibayar cukai yang tidak mematuhi apa-apa peraturan."

 

"Jenayah ekonomi yang tidak terkawal ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian hasil berbilion ringgit, tetapi juga memperkaya penjenayah, yang kemudiannya menggunakan wang itu untuk merasuah dan memudahcara penyusupan penjenayah di dalam institusi penguatkuasaan undang-undang dan politik,’’ jelas beliau.

 

"Jenayah ekonomi boleh meningkat besar dalam masa terdekat ini didorong oleh kenaikan harga barangan dan golongan B40 terjejas teruk pendapatan mereka akibat pandemik COVID-19.

 

''Sudah tentu, orang akan beralih kepada alternatif lebih murah tanpa mengira kualiti, keselamatan dan sah atau tidak dari segi undang-undang. Ini hendaklah dihentikan segera dan secara berkesan oleh penggubal undang-undang Negeri merentasi semua parti politik,’’ kata beliau.   

 

Dr Yusoff kini merupakan Presiden E-Cure Sdn Bhd, sebuah firma perunding di dalam Kawalan Jenayah Ekonomi, Pengerusi Koperasi Pelita Biru Berhad (KPBB), Presiden Persatuan Karate Sarawak  (SAKA) dan pengerusi lima syarikat lain. Selain itu, beliau telah berkhidmat dengan Kerajaan untuk selama lebih daripada lima dekad sebagai guru, kerani mahkamah, pegawai polis dan Penasihat Keselamatan Negeri.

 

Beliau memiliki pengalaman lebih sedekad di dalam penyiasatan jenayah dan memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Jenayah Komersial; Ketua Perisikan Ekonomi Cawangan Khas; dan Ketua Polis Negeri Sarawak.

 

Selain itu, beliau merupakan peguam bertauliah dan pensyarah universiti. Kelayakan akademiknya termasuk Ijazah Kemanusiaan dari Universiti Sains Malaysia; Undang-Undang dari University of Dundee; Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia; MBA dari Brunel University; Pentadbiran Awam dari Universiti Malaya, dan PhD di dalam Jenayah Ekonomi dari Stirling University dengan tesis Jenayah Ekonomi di Malaysia. – DagangNews.com