Kekangan fiskal tidak halang kerajaan bantu rakyat - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Kekangan fiskal tidak halang kerajaan bantu rakyat - Tengku Zafrul

 

 

KUALA LUMPUR 1 Jun -  Pengumuman pakej bantuan terbaharu Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion merupakan bukti bahawa kerajaan terus komited dan prihatin dengan keperluan rakyat dalam mendepani krisis kesihatan meskipun berdepan dengan kekangan fiskal.


 
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menekankan komitmen kerajaan untuk melindungi nyawa rakyat dengan meningkatkan kapasiti sistem kesihatan awam termasuklah program imunisasi COVID-19 kebangsaan.

 

Kerajaan juga, katanya, komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terutama mereka yang paling terkesan dengan krisis ini.

 

“Namun, langkah ini perlu bagi memastikan kesejahteraan rakyat," katanya seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar susulan pengumuman Pemerkasa Plus yang melibatkan suntikan RM5 bilion perbelanjaan tambahan oleh kerajaan meskipun defisit telahpun dijangka berada sekitar 6% dan hutang statutori menghampiri paras siling 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan langkah tersebut semalam susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bagi membendung jangkitan pandemik COVID-19 ,ia akan membawa impak yang besar kepada ekonomi negara dan kerajaan mempunyai fiskal yang terhad.

 

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan tiada golongan yang ketinggalan termasuklah pekerja sektor informal, golongan belia dan golongan rentan.

 

“Kerajaan komited untuk menyokong perniagaan, kecil dan besar dan ekonomi yang lebih meluas. 

 

“Saya ingin menegaskan bahawa pakej bantuan ini merupakan pengantara atau bridger dalam usaha kerajaan beralih daripada agenda 'Memperkasa' (atau Revitalise) kepada agenda 'Menyusun semula' (atau Reform) dalam pendekatan 6R kerajaan,” katanya.

 

Tambahan pula, katanya, pakej ini adalah kesinambungan bagi pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang terdahulu. 

 

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemerkasa Plus perlu dilihat bersama dengan pakej rangsangan yang lain, khususnya Permai (yang diumumkan Januari 2021) dan Pemerkasa (Mac 2021) yang masih giat dilaksanakan dengan nilai melebihi RM100 billion. - DagangNews.com