‘Kelangsungan’ AirAsia bergantung kepada kejayaannya kumpul dana - MIDF | DagangNews Skip to main content

‘Kelangsungan’ AirAsia bergantung kepada kejayaannya kumpul dana - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - Masih awal untuk perniagaan digital AirAsia Group Berhad ‘membawa keluar’ kumpulan daripada krisis kewangan dan operasi akibat pandemik COVID-19. 

 

Bagi penganalisis di MIDF Research, Ummar Fitri, penentu kepada ‘kelangsungan’ AirAsia adalah bergantung kepada kejayaan kumpulan dalam aktiviti pengumpulan dananya dan menghidupkan kembali perniagaan teras iaitu penerbangan.

 

Ummar menggambarkan langkah-langkah itu yang akan membantu AirAsia menyelesaikan isu kewangan dan operasi kumpulan memandangkan segmen digitalnya masih baharu dan berbeza dengan perniagaan utama syarikat penerbangan itu. 

 

“Kami berpendapat bahawa segmen digital AirAsia belum dapat bertahan sendiri dan masih lagi berada pada skala yang tidak dapat mempertahankan keseluruhan kumpulan itu, terutama dalam masa terdekat ini. 

 

“Sekiranya kumpulan gagal menangani keperluan segera dalam perniagaan penerbangannya, AirAsia akan terus berada dalam keadaan tidak menentu, dijangka lebih lama daripada tahun semasa 2021 hingga 2022,” jelas beliau dalam satu nota kajian hari ini.

 

Semalam, AirAsia mengumumkan kerugian kumpulan pada suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21) berkembang kepada RM807.1 juta, lonjakan 81.7% berbanding tempoh sama tahun lalu ekoran hasil yang lebih rendah. 

 

Tambah Ummar, nilai kerugian itu lebih tinggi daripada unjuran yang dibuat firmanya dan statistik operasi semasa terus menunjukkan penurunan yang banyak.

 

Secara dasarnya, Ummar menekankan sekatan perjalanan yang ditamatkan termasuk pembukaan sempadan negara akan menjadi peneraju utama kepada perniagaan AirAsia. 

 

Tanpa langkah-langkah berkenaan, pemain industri penerbangan seperti AirAsia akan terus mencatatkan kerugian yang lebih besar, ujarnya lanjut.

 

“Kebenaran separa bagi aktiviti perjalanan merupakan perkara positif buat sektor berkenaan, namun belum cukup untuk membawa kumpulan mencatatkan keuntungan.

 

“Melangkah ke hadapan, AirAsia akan terus beroperasi dalam persekitaran mencabar ketika pandemik semakin teruk, kawalan sempadan dan langkah-langkah lain yang tidak memihak kepada perniagaan penerbangan. 

 

“Kami menyemak turun unjuran kerugian bagi FY21 dan FY22 kepada masing-masing RM1.901 bilion dan RM1.858 bilion daripada RM1.983 dan RM610.0 juta sebelum ini,” jelas Ummar lagi. 

 

Menerusi makluman berbeza di Bursa Malaysia semalam, AirAsia telah menyuntik bantuan kewangan sebagai pendahuluan kepada anak syarikat dan syarikat bersekutunya bagi suku tahun semasa. 

 

Ini melibatkan suntikan AS$0.4 juta pendahuluan bersamaan RM1.7 juta berdasarkan kadar pertukaran pada 31 Mac 2021, kepada Big Pay Pte. Ltd (Big Pay), menerusi anak syarikat milik penuhnya, AirAsia Digital Sdn. Bhd.

 

Seterusnya, pada 25 Januari, 24 Februari, 8 dan 23 Mac lalu, sejumlah AS$8.1 juta pendahuluan bersamaan 33.7 juta telah diberikan kepada PT Indonesia AirAsia (IAA) menerusi anak syarikat milik penuhnya, AirAsia Berhad (AAB).

 

Pada 24 Februari dan 24 Mac 2021 pula, kumpulan telah menyuntik AS$3.1 juta bersamaan RM12.9 juta bantuan kewangan berbentuk pendahuluan kepada AirAsia Inc. (PAA) menerusi AAB. 

 

Berdasarkan prestasi kewangan kumpulan bagi suku tahun semasa, MIDF mengekalkan saranan ‘jual’ saham AirAsia dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM0.44. - DagangNews.com