Kelemahan sektor semikonduktor, TA Research unjur Elsoft berdepan permintaan lebih perlahan bagi sistem ATE | DagangNews Skip to main content

Kelemahan sektor semikonduktor, TA Research unjur Elsoft berdepan permintaan lebih perlahan bagi sistem ATE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - Elsoft Research Berhad diunjur berdepan permintaan lemah bagi sistem peralatan ujian automatik (ATE) kesan daripada perbelanjaan modal yang lebih rendah akibat kelemahan dalam sektor semikonduktor.

 

TA Research berkata, walaupun berdepan kelemahan permintaan bagi jangka pendek namun pengambilalihan Xyrius Solutions Sdn. Bhd. baru-baru ini selain pengkomersialan alat kawalan bagi mesin dialisis peritoneal akan menjadi pemangkin kepada kumpulan itu.

 

Xyrius merupakan  pereka dan pengilang peralatan automasi tersuai, dijangka membantu meningkatkan keupayaan automasi ATE dan sistem burn-in Elsoft dan daya saingnya berbanding pesaingnya.

 

"Kami percaya usaha hanya akan membuahkan hasil dalam jangka sederhana hingga lebih panjang.

 

"Kami telah mengurangkan unjuran pendapatan FY23 kumpulan itu sebanyak 14.4% selepas menurunkan hasil sebanyak 14.9% bagi mencerminkan keputusan sebenar 3QFY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras 9MFY23 kumpulan itu sebanyak RM6.7 juta berada di bawah anggaran tahun penuh firma itu pada 64.9% disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan untuk ATE dan sistem burn-in.

 

Hasil kumpulan itu juga susut 40.4% kepada RM13.9 juta.

 

Walaupun mencatatkan keputusan yang lemah, kumpulan itu kekal pada kedudukan kewangan yang kukuh dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM103.2 juta.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 58 sen.

 

Mereka melihat pemangkin penarafan semula terhadap permintaan yang lebih kukuh daripada jangkaan untuk sistem ATE dan burn-in, serta daya tarikan dengan pemerolehan Xyrius. - DagangNews.com