Kelembapan ekonomi global beri kesan pertumbuhan jangka pendek, AmInvestment 'neutral' terhadap sektor teknologi | DagangNews Skip to main content

Kelembapan ekonomi global beri kesan pertumbuhan jangka pendek, AmInvestment 'neutral' terhadap sektor teknologi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor teknologi dengan jangkaan potensi pertumbuhan pendapatan jangka pendek dihadkan oleh kelembapan ekonomi global.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun menjangkakan segmen automotif akan membantu mengimbangi kelemahan dalam segmen semikonduktor pada tahun depan.

 

Katanya, sebarang penilaian semula positif sektor ini bergantung kepada tanda-tanda pemulihan permintaan yang lebih cepat daripada jangkaan bagi segmen semikonduktor dan elektronik pengguna.

 

"Kami memahami bahawa syarikat seperti UWC Berhad, Greatech Technology Berhad dan Pentamaster Corporation Berhad mengamalkan pendekatan lindung nilai semula jadi bagi mengurangkan risiko tukaran mata wang asing daripada ringgit yang lebih lemah kerana hasil eksport mereka didenominasikan dalam dolar Amerima Syarikat.

 

"Bagi UWC, kebanyakan bahan mereka diperoleh secara domestik dan kumpulan itu mempunyai keupayaan untuk menyampaikan sebarang kos input tambahan dengan varians lebih daripada 5% kepada pelanggan.

 

"Kami mendapati bahawa Pentamaster memberikan terma kredit yang lebih panjang kepada pelanggan seperti yang dilihat oleh hari penghutang yang lebih lama dan ini telah memanjangkan kitaran penukaran tunai, katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, dari sudut positif, syarikat mempunyai kelebihan tersendiri dan kunci kira-kira yang sihat selain kedudukan tunai positif setakat Ogos 2023.

 

Syarikat-syarikat itu juga menikmati kadar efektif yang lebih rendah disebabkan oleh faedah cukai pelaburan semula daripada pembesaran loji atau status perintis pada produk tertentu.

 

Bagaimanapun, sektor itu berdepan beberapa risiko termasuk peningkatan perang teknologi AS-China dan konflik geopolitik selain risiko penumpuan yang berpunca daripada pergantungan tinggi kepada pelanggan utama semasa kelembapan ekonomi global, bagi syarikat seperti UWC dan Greatech.

 

Risiko itu boleh membawa kepada kapasiti berlebihan dengan struktur kos tetap yang lebih tinggi daripada pengembangan kilang dan pengumpulan inventori yang mungkin memberi kesan kepada keuntungan dan aliran tunai. - DagangNews.com