Kelington berpotensi 'kaut' lebih banyak projek semikonduktor - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Kelington berpotensi 'kaut' lebih banyak projek semikonduktor - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kelington Group Berhad dijangka terus menyaksikan lebih banyak kemenangan kontrak dan projek melibatkan sektor semikonduktor pada masa akan datang.

 

Ini berikutan aktiviti ekonomi mula meraih momentum ditambah permintaan yang kukuh dalam sektor tersebut, jelas penganalisis di Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Leong.

 

“Langkah ini juga akan disokong oleh kira-kira RM1.50 bilion nilai buku tender. 

 

“Melangkah ke hadapan, pesanan buku tertunggak Kelington dijangka mencecah sekitar RM451 juta dan mampu menampung perolehan untuk tempoh dua tahun akan datang,” jelas Leong dalam satu nota kajiannya hari ini. 

 

Semalam, Kelington memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Kelington Engineering (S) Pte Ltd memperoleh satu lagi kontrak Ultra High Purity (UHP) bernilai RM49 juta.  

 

Dalam makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia, kontrak itu melibatkan kerja-kerja pengagihan sistem gas pukal untuk sebuah kilang pengeluar semikonduktor di Singapura.

 

Baca : Kelington raih satu lagi kontrak UHP bernilai RM49 juta di Singapura

 

Perolehan kontrak itu sekali gus membawa pengisian semula nilai projek kumpulan kepada sekitar RM313 juta dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pesanan buku RM450 juta oleh Malacca Securities bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Di peringkat tempatan, Leong difahamkan operasi kumpulan juga berada di landasan pemulihan untuk kembali normal di samping kadar vaksinasi yang lebih tinggi di Malaysia. 

 

Sementara, di peringkat global pula, jualan semikonduktor kekal mampan, mencatatkan pertumbuhan 29.0% kepada AS$45 bilion pada Julai 2021 berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Di sebalik perkembangan positif itu, Malacca Securities mengekalkan saranan ‘pegang’ saham Kelington dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.37 sesaham.

 

“Risiko kepada saranan dan TP kami termasuk sasaran pengisian semula pesanan buku bernilai RM450 juta yang lebih lemah, masing-masing untuk FY21 dan FY22. 

 

“Sebarang penyusutan dalam jualan semikonduktor akan menjejaskan projek UHP berskala besar di China dan Singapura, memandangkan segmen UHP memainkan peranan penting dalam jumlah sumbangan hasil dan pertumbuhan perolehan,” tambah Leong. - DagangNews.com