Kelington Group diunjur catat perkembangan hasil, untung teras dua digit pada suku ketiga 2023 | DagangNews Skip to main content

Kelington Group diunjur catat perkembangan hasil, untung teras dua digit pada suku ketiga 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Nov - RHB Investment mengunjurkan Kelington Group Berhad mencatatkan perkembangan dua digit dari segi hasil dan keuntungan teras pada suku ketiga disokong oleh buku pesanan tertunggak sebanyak RM1.8 bilion dan pengebilan progresif.

 

Katanya, pada separuh pertama tahun ini, hasil dan keuntungan teras kumpulan itu melonjak sebanyak masing-masing 51% dan 62%. 

 

Segmen ketulenan ultra tinggi (UHP) dan segmen gas perindustrian dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan kumpulan, dengan loji karbon dioksida cecair (LCO2) sudah beroperasi pada kapasiti maksimum.

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu akan mengumumkan pesanan baharu pada suku ketiga ini selepas keputusan kewangan dikeluarkan dan ia akan meningkatkan pesanan sebanyak RM744 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sebelum ini, kumpulan itu menerusi Kelington Engineering (Singapore) Pte Ltd dianugerahkan kontrak UHP bernilai RM102 juta untuk mereka bentuk dan membina sistem penghantaran bahan kimia.

 

Kontrak itu juga termasuk pemasangan talian utama utiliti proses dan sambungan di Singapura. Kerja-kerja bagi projek itu sudah dimulakan pada April 2023 dan dijangka siap menjelang Mac 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kilang baharu LCO2 kumpulan itu dijangka memulakan pengeluaran menjelang akhir tahun ini dengan kapasiti yang diperluaskan dan menjadikannya pengeluar LCO2 terbesar di Malaysia, diikuti oleh Linde Malaysia.

 

Katanya, permintaan kukuh daripada pasaran Oceania (>70% daripada LCO2 dieksport), kadar penggunaan loji kedua sepatutnya meningkat dengan cepat, berpotensi mencecah 30% menjelang suku kedua tahun hadapan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.59 sesaham," katanya. - DagangNews.com