Kelington terima kontrak RM330 juta bagi kerja-kerja agihan sistem gas pukal | DagangNews Skip to main content

Kelington terima kontrak RM330 juta bagi kerja-kerja agihan sistem gas pukal

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Sept – Penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu, Kelington Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Kelington Technologies Sdn Bhd (KTSB) telah meraih kontrak Ketulenan Ultra Tinggi baharu bernilai RM330 juta daripada peneraju dunia dalam penyelesaian semikonduktor.

 

Di bawah kontrak itu, Kelington akan menjalankan kerja-kerja pengedaran sistem gas pukal dan khusus untuk pembesaran kemudahan pembuatan semasa di Kulim oleh pelanggan. Projek ini akan dimulakan pada September 2022 dan dijangka siap pada September 2024.

 

Dengan kontrak terbaharu ini, Kelington sekarang telah memperoleh tempahan baharu berjumlah RM1.28 bilion tahun setakat ini, yang melepasi jumlah pesanan baharu tahun lepas yang diperoleh sebanyak RM1.19 bilion dan mencatat rekod baharu bagi Kumpulan dari segi nilai tertinggi kemenangan kontrak baharu dalam setahun.

 

Ini meningkatkan buku pesanan tertunggak semasa Kelington kepada RM1.87 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Ir. Raymond Gan berkata, pihaknya berbesar hati telah merangkul kontrak yang besar ini daripada pelanggan berulang.

 

Menurut beliau, ia adalah bukti kedudukan pasaran Kelington yang kukuh dalam menyediakan penyelesaian UHP dan keupayaan syarikat dalam mendapatkan kontrak bernilai besar daripada pemain semikonduktor global.

 

“Selain itu, kami telah menerima lonjakan dalam jemputan bidaan daripada pelanggan sedia ada dan baharu kami di seluruh pasaran operasi utama kami, termasuk Malaysia, Singapura, China dan Taiwan.

 

"Ini adalah penunjuk yang baik untuk kami, kerana kami menyasarkan untuk mengekalkan kadar penambahan pesanan yang kukuh pada masa hadapan,” kata beliau.

 

Raymond berkata, memandang ke hadapan, Kelington akan terus mengukuhkan hubungan dengan pelanggan merentasi pasaran operasi yang berbeza untuk memberikan nilai yang mampan kepada pelanggan dan pemegang saham kami.

 

"Memandangkan penambahan pesanan kami yang berdaya tahan, kami berada di landasan yang baik untuk menyampaikan prestasi kewangan yang menggalakkan sepanjang tahun kewangan akan datang,” katanya.

 

Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan, masing-masingnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan 2024. - DagangNews.com