Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya (MOTAC) bersetuju untuk melanjutkan tempoh kelonggaran syarat pengendali pelancongan yang berlesen daripada 1 Januari hingga 30 Jun 2021.
MOTAC dalam satu kenyataan berkata, kelonggaran itu dijangka memberi manfaat kepada 6,894 pengusahaan pelancongan yang berlesen dan menjalankan perniagaan agensi pengembaraan.
“MOTAC bersetuju memberi beberapa kelonggaran berkuatkuasa 1 Januari 2021 di bawah Seksyen 4, Akta 482 dan Peraturan-Peraturan bertanggungjawab bagi penyeliaan am ke atas segala perkara yang berhubung Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].
“Perlanjutan kelonggaran dari segi keluasan premis bagi syarikat pengendali pelancongan yang telah berlesen dari 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun 2021.
“Perlanjutan kebenaran untuk menjalankan perniagaan lain dalam premis syarikat pengendali pelancongan dari 1 Januari 2021 sehingga 30 Jun 2021,” kata kementerian itu.
Dalam masa sama, tempoh penyewaan premis perniagaan secara co-share office space turut dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.
“Justeru, kementerian ini berharap kelonggaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dan masalah yang dihadapi oleh syarikat pengusahaan pelancongan yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19,” tambah MOTAC. - DagangNews.com