Keluar kenyataan naikkan harga barang, MyCC beri amaran kepada gabungan perusahaan | DagangNews Skip to main content

Keluar kenyataan naikkan harga barang, MyCC beri amaran kepada gabungan perusahaan

KUALA LUMPUR 9 Feb - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bimbang dengan kenyataan dikeluarkan beberapa gabungan perusahaan yang memberi peringatan kepada para pengguna, antaranya, supaya bersedia menghadapi kenaikan harga makanan dan bukan makanan sehingga 10%. 

 

Malah, gabungan itu turut menjangkakan berlaku gangguan bekalan makanan tertentu sehingga Ramadan dan Aidilfitri yang didakwa disebabkan perbincangan berkenaan subsidi yang berpanjangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, suruhanjaya akan terus memantau situasi ini secara berterusan dan menilai kesan anti-persaingan dari isyarat harga dan pendedahan penentuan harga. 

 

"MyCC juga akan menyiasat pendedahan dan pertukaran maklumat yang bersifat anti-persaingan dan sekiranya perlu, mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk mengenakan penalti dan arahan bersesuaian terhadap pihak terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

MyCC juga menegaskan, entiti-entiti tersebut mempunyai pengaruh kuat dalam pasaran berkaitan, justeru, kenyataan berkenaan boleh dianggap sebagai percubaan untuk mempengaruhi tingkah laku perusahaan dalam pasaran. 

 

Tindakan sedemikian, jika didapati mempunyai unsur-unsur menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam pasaran, boleh menimbulkan isu persaingan di bawah Akta Persaingan 2010. 

 

"Sebagai contoh, memberi isyarat kepada pasaran mengenai potensi kenaikan harga. Kenyataan-kenyataan sedemikian oleh entiti-entiti ini adalah tidak perlu dan boleh menimbulkan keresahan dan panik dalam
kalangan pengguna," jelasnya. 

 

Isyarat harga boleh membawa maksud kepada pelawaan untuk bersepakat atau pendedahan penentuan harga atau pricing disclosure yang berpotensi menyebabkan kesan anti-persaingan boleh dianggap sebagai satu pelanggaran di bawah larangan perjanjian anti-persaingan generik atau larangan amalan bersepadu.

 

Menurut MyCC, semua entiti dinasihatkan untuk memfokuskan setiap usaha dan berganding bahu bersama kerajaan dalam mencari langkah terbaik untuk menangani isu-isu berkaitan.

 

"MyCC ingin mengingatkan semua kumpulan terutamanya persekutuan persatuan atau persatuan peniaga atau perusahaan agar mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang sama atau sebarang kenyataan yang boleh membawa kesan yang sama pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com