Kelulusan projek mega dijangka lonjak pendapatan FY21 Gamuda | DagangNews Skip to main content

Kelulusan projek mega dijangka lonjak pendapatan FY21 Gamuda

Projek mega infra rakyat MRT3

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Kelulusan dan pelaksanaan projek mega infra rakyat iaitu Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) dijangka memacu jumlah pendapatan syarikat pembinaan Gamuda Berhad (Gamuda) pada tahun kewangan 2021.

 

MIDF Research berkata, kelulusan projek seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 itu dilihat dapat memberi manfaat kepada kumpulan tersebut untuk terus maju.

 

"Dengan jangkaan penyelesaian MRT2 pada akhir 2022, kami meramalkan bahawa MRT3 akan menjadi sebuah projek yang akan dilancarkan paling awal iaitu pada separuh kedua tahun kewangan semasa 2021.

 

"Kebangkitan semula JB-SG RTS (Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System (RTS)) menjadi pendahulu yang kuat kepada projek KL-SG HSR yang berkemungkinan mempunyai hasil yang baik didorong oleh reputasi yang bersih dalam projek rakyat di samping kunci kira-kira yang kukuh.

 

"Oleh itu, kami berpandangan bahawa pendapatan tahun kumpulan itu (Gamuda) akan meningkat pada tahun kewangan 2021," jelas MIDF Research.

 

Pada suku pertama tahun kewangan 2021, Gamuda mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak -30.3% berbanding tahun sebelumnya kepada RM109.4 juta.

 

Penurunan itu disebabkan oleh kemerosotan pendapatan hartanah sebanyak -80.0% berbanding tahun sebelumnya kepada RM9.9 juta.

 

Mengulas berkaitan projek di Australia, MIDF Research memberitahu, kumpulan Gamuda mempunyai peluang besar untuk memenangi projek berkenaan.

 

"Kami menyedai bahawa kontrak untuk projek 'M6 Stage 1 Motorway' bernilai kira-kira AS$2.6 bilion di Sydney yang melibatkan pembinaan terowong berkembar sepanjang 4km dijangka akan diumumkan pada separuh pertama tahun 2021.

 

"Gamuda adalah salah satu daripada tiga pembida projek berkenaan dan kami yakin kumpulan itu terpilih dengan alasan bahawa ia adalah satu-satunya pesaing kepada BMD Constructions Pty Ltd dan mempunyai pengalaman luas dalam projek terowong," tambah MIDF Research.

 

Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research turut membuat semakan semula terhadap ramalan pendapatan syarikat berkenaan pada tahun kewangan 2021 dan 2022 kepada RM603.0 juta dan RM651.8 juta.

 

"Dengan mengekalkan saranan 'beli' saham Gamuda, kami membuat semakan semula terhadap harga sasaran sesaham (TP) syarikat tersebut kepada RM4.20 berbanding RM3.81 pada sebelumnya," ujar MIDF Research lagi. - DagangNews.com