Kemasik Oil sasar jualan RM6 juta minyak masak jenama Sofea setahun walaupun baru di pasaran | DagangNews Skip to main content

Kemasik Oil sasar jualan RM6 juta minyak masak jenama Sofea setahun walaupun baru di pasaran

Seorang kakitangan Kemasik Oil menunjukkan minyak masak jenama Sofea yang dipasarkan.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 30 Julai - Walaupun baru berada di pasaran, namun pengeluar minyak masak jenama Sofea, Kemasik Oil. Sdn. Bhd. (Kemasik Oil) yakin syarikat itu mampu mencapai jualan sebanyak RM6 juta setahun.

 

Ini berdasarkan kapasiti pengeluaran semasa iaitu kira-kira 120 tan minyak masak sebulan di kilangnya yang terletak di Sungai Siput (U) dekat Kuala Kangsar.

 

Pengarahnya, Amirul Haizi Othman berkata, ketika ini syarikat memberi tumpuan untuk pasaran di dalam negeri Perak khusus di kedai-kedai runcit dan premis makanan.

 

Menurut beliau, pihaknya yakin jenama Sofea dapat menjadi pilihan pengguna kerana mempunyai pensijilan halal selain pengiktirafan kebersihan kilang daripada pihak berkuasa.

 

Kapal

 

“Kemasik Oil ditubuhkan setahun lalu yang mana sepanjang tempoh itu kita telah mendapat lesen mengilang daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

“Syarikat bermula dengan membekalkan minyak masak ke restoran sehinggalah kita menerima geran Program Peningkatan Enterprise Bumiputera daripada SME Corp sebanyak RM127,750 bagi membeli mesin membotolkan minyak masak.

 

“Mulai bulan lepas, minyak masak Sofea telah memasuki pasaran yang mana kita memasarkan minyak masak dalam bentuk peket 1 kilogram (kg) dan botol 1, 3 dan 5kg,” ujarnya.

 

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran minyak masak jenama Sofea di Hotel Travelodge di sini yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Perak, Dato' Salbiah Mohamed.

 

Kapal
Salbiah (kiri) bersama Amirul Haizi (kanan) dan Azrine (dua dari kanan) pada majlis pelancaran minyak masak jenama Sofea di di Ipoh.

 

Hadir sama Pengarah SME Corp negeri Perak, Azrine Othman.

 

Jelas Amirul Haizi, buat permulaan pihaknya giat melakukan promosi di pasar tani seluruh Perak bagi memperkenalkan jenama Sofea kepada pengguna.

 

Katanya, kaedah pemasaran secara bersemuka berkesan untuk produk baharu di samping dapat bertemu secara langsung dengan pembeli.

 

Pada masa sama, syarikat juga telah menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) negeri Perak bagi meluaskan pemasaran.

 

“Kita memberi fokus jualan di kedai runcit dan pasaraya kecil kerana proses ini lebih mudah, bagaimana pun pada masa akan datang syarikat akan berusaha untuk memasuki jualan di pasar raya besar,” ujarnya. - DagangNews.com