Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Jan. - Pelaksanaan semula PKP tidak dapat dielakkan memandangkan penularan kes COVID-19 semakin membimbangkan.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan PKP akan dilaksanakan sekurang-kurang empat minggu supaya kes dapat dikurangkan kepada sekitar 500 ke 1,000 kes sehari dalam tempoh empat minggu.
Perkara tersebut secara tidak langsung memberi bayangan kepada semua pihak bahawa PKP tidak hanya berlaku selama dua minggu, sebaliknya akan diteruskan selama sebulan atau hingga Mei 2021.
Selain usaha memutuskan rantaian jangkitan penularan virus tersebut, perhatian semua pihak khususnya kerajaan perlu dihalakan kepada keadaan ekonomi rakyat.
Keadaan getir itu pastinya memberi kebimbangan kepada mereka yang terkesan akibat pelaksanaan PKP buat kali kedua ini.
Seperti PKP 1.0 yang kita lalui tahun lalu, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan terutama moratorium selama 6 bulan bermula April hingga September 2020 melibatkan jumlah keseluruhan RM100 bilion.
Bagaimanapun, institusi perbankan selepas itu menawarkan bantuan pinjaman bersasar kepada golongan yang terjejas bagi meringankan beban kewangan mereka walaupun pada masa itu, ekonomi kembali beroperasi.
Apabila PKP 2.0 dilaksanakan ketika ini, persoalan yang sama mula dibangkitkan pelbagai pihak, adakah moratorium akan kembali, sejauh mana kemampuan bank dan juga kewangan kerajaan dalam menghadapi PKP 2.0 ini.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, moratarium automatik juga harus diperkenalkan kembali, sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga enam bulan agar dapat meringankan beban mereka yang terjejas.
Ketika dihubungi DagangNews.com hari ini, katanya, pelaksaan PKP pastinya memberi kesan yang lebih kritikal kepada industri-industri yang tidak dapat meneruskan operasi sepanjang tempoh tersebut seperti industri kecil, mikro dan nano.
Limpahan kesan tersebut turut melibatkan dan memberi kesan kepada pekerja atau mereka yang digajikan dalam sektor berkenaan.
Jelas beliau, bantuan yang telah diberikan sebelum ini seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sepatutnya dapat membolehkan mereka beroperasi kembali dan mengukuhkan perniagaan.
Namun, pelaksaan semula PKP menyebabkan usaha tersebut terencat dan proses pemulihan serta pengukuhan perniagaan tergelincir.
"Walaupun kerajaan melalui MoF (Kementerian Kewangan) mengumumkan bahawa bantuan seperti BPN akan disegerakan. Lebih dari itu, program subsidi upah untuk mereka yang terjejas, bantuan kewangan baharu yang lain harus diperkenalkan kembali sebelum usahawan-usahawan ini gulung tikar dan kadar pengangguran meningkat kembali," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan mempunyai kemampuan untuk menyediakan pakej bantuan baharu dalam tempoh PKP 2.0, beliau memberitahu, tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan menghadapi kekangan kewangan.
Ujarnya, Belajawan 2021 adalah belanjawan terbesar dalam sejarah negara dari segi perbelanjaan, ditambah pula oleh pelan stimulasi seperti Penjana dan Prihatin, bertambah parah lagi oleh pampasan berbilion ringgit yang terpaksa diberi akibat pembatalan beberapa projek besar.
"Namun kita tidak dapat lari dari memperkenalkan pelan stimulasi (rangsangan) baharu dan menyuntik perbelanjaan baharu untuk menjana ekonomi kembali, demi kelestarian ekonomi negara menuju WKB2030.
"Kita terpaksa meminjam atau memperkenalkan kembali GST atau cukai-cukai baharu untuk menampung perbelanjaan baharu. Rakyat seharusnya matang dan memahami langkah-langkah ini," jelasnya lagi.
Dalam laporan DagangNews.com baru-baru ini, MIDF Research memberitahu, kesan PKP dan PKPB selama dua minggu mampu menurunkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga 0.8ppt (mata peratusan).
Penurunan tersebut dengan kata lain menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara lebih perlahan kepada paras 6.2% tahun ke tahun berbanding unjuran 7%.
Baca: Tiada impak ekonomi akibat darurat
Sementara itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut bersetuju terhadap keperluan kerajaan untuk memperkenalkan pakej bantuan baharu sepanjang PKP 2.0.
Jelasnya, apa jua bentuk bantuan yang bakal diumumkan kelak perlu bersasar kepada mereka yang benar-benar terjejas.
Sebubungan itu, kerajaan perlu meningkat usaha untuk menaik taraf kehidupan mereka yang terjejas melalui program-program latihan keusahawanan dan kemahiran.
Usaha itu adalah untuk membolehkan golongan terjejas memperoleh pekerjaan di sektor yang lain.
"Mereka yang terkesan juga digalakkan untuk kekal positif dan sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan melalui program-program yang telah disedialan oleh kerajaan.
"Dalam suasana pandemik, ia memerlukan suatu kerjasama yang kuluh dan baik antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan perlu memikirkan apakah langkah yang sesuai utk membantu rakyat manakala rakyat pula perli cakna tentang peluang-peluang yang wujud," jelas beliau.
Berkaitan kemampuan kerajaan, beliau berkata, kerajaan sememamgnya mampu untuk berbelanja.
Jelasnya, apa yang penting ialah kerajaan perlu memastikan segala bentuk bantuan yang disediakan sampai kepada golongan sasaran dengan cepat.
Perkara tersebut secara tidak langsung menekankan kepada koordinasi antara kementerian dan agensi kerajaan yang perlu diperhebatkan.
"Aspek tadbir urus juga perlu ditekankan supaya tiada golongan yang menangguk di air yang keruh.
"Disamping itu, aspek komunikasi juga perlu ditingkatkan supaya rakyat cakna tentang bantuan-bantuan yang disediakan. - DagangNews.com