Kemelut politik, prospek fiskal semakin memburukkan bon Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kemelut politik, prospek fiskal semakin memburukkan bon Malaysia

 

 


KUALA LUMPUR 19 Ogos - Kemerosotan prospek fiskal Malaysia, yang diburukkan lagi dengan ketidaktentuan politik menyebabkan bon ringgit ketinggalan berbanding nota rupiah, lapor Bloomberg.

 

Penanda aras hutang 10 tahun Malaysia juga mencatat prestasi rendah berbanding sekuriti Indonesia dengan hasil tambahan menyusut 305 mata asas, menghampiri paras terendah lebih 3 tahun. 

 

Pada masa sama, langkah mengurangkan tawaran bon dan kepekaan yang lebih besar terhadap hasil perbendaharaan telah membantu nota rupiah.

 

"Prospek bon ringgit yang semakin merosot boleh menghalang dana global dan melambatkan usaha Malaysia mengatasi kekurangan bajet terutama menjelang kemungkinan pilihan raya umum akan datang," menurutnya seperti dipetik TheEdge hari ini.

 

Sebagai perbandingan, Presiden Indonesia, Joko Widodo menyatakan komitmennya terhadap pengukuhan fiskal meningkatkan keyakinan terhadap nota rupiah sekali gus membantu menangani kesan yang dicetuskan prospek rangsangan Amerika Syarikat (AS) yang kurang.

 

Hasil penanda aras sekuriti ringgit 10 tahun jatuh 2 mata asas sejak akhir Jun kepada 3.27% manakala Indeks Bloomberg Barclays nota Malaysia mencatatkan penurunan 1.4%.

 

Sebaliknya, hasil nota rupiah yang mempunyai tempoh sedekad susut hampir 30 mata asas pada suku ini kepada 6.32%. 

 

Indeks sekuriti Indonesia turut meningkat 3% dalam tempoh itu, mengatasi pasaran ekonomi baharu muncul Asia yang lain.

 

Secara dasarnya, perbezaaan itu disebabkan sebahagiannya oleh prospek fiskal. 

 

Pada ketika Indonesia mengekalkan sasaran defisit Belanjawan 2021 pada 5.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia pula melebarkan anggaran defisit bagi tahun ini sebanyak 2 kali, antara 6.5 hingga 7% daripada KDNK, berikutan perbelanjaan dan rangsangan untuk menangani penularan pandemik COVID-19.

 

Risiko semakin bertambah apabila kemelut politik di Malaysia semakin meruncing ekoran peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu ini.

 

Perlumbaan untuk menggantikan tempat beliau sudah bermula, dan pelabur akan mencerna senarai calon terbabit untuk melihat sejauh mana dasar ekonomi akan datang.

 

Ahli Ekonomi Oversea-Chinese Banking Corp di Singapura, Wellian Wiranto berkata, dalam tempoh terdekat, mungkin berlaku ketidaktentuan seterusnya sama ada kerajaan baharu dibentuk bila-bila masa.

 

"Melangkaui tempoh itu, mana-mana kerajaan dilihat mengekalkan pendirian fiskal yang berkembang dengan mengambil kira kemungkinan berlakunya pilihan raya tidak lama lagi, mungkin 2022," jelasnya. 

 

Hakikatnya, bon Malaysia berada di bawah tekanan sejak sebelum tercetusnya pergolakan politik. 

 

Data bank pusat menunjukkan, dana global menarik keluar sebanyak AS$852 juta daripada sekuriti pada Julai, kali pertama dalam tempoh 15 bulan. 

 

Indonesia pula sebaliknya mencatat aliran keluar sebanyak AS$576 juta pada bulan yang sama, meskipun jumlah ini telah diimbangi dengan aliran masuk berjumlah AS$617 juta pada Ogos, menurut data Kementerian Kewangan.

 

Malah, kedudukan asing dalam hutang rupiah juga adalah lebih rendah berbanding sekuriti ringgit. - DagangNews.com