Kementerian Kesihatan lanjut perkhidmatan Pharmaniaga setahun lagi | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kesihatan lanjut perkhidmatan Pharmaniaga setahun lagi


KUALA LUMPUR 31 Dis - Kementerian Kesihatan (KKM) melanjutkan perkhidmatan Pharmaniaga Bhd membabitkan penyediaan dan pembekalan perubatan kepada kementerian itu selama setahun lagi mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022. 

 

KKM telah mengeluarkan surat lanjutan bertarikh 28 Disember kepada anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB),  sementara menunggu untuk memuktamadkan konsesi logistik serta pengedaran yang baharu. 

 

Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata, skop perkhidmatan yang akan disediakan oleh PLSB adalah sama dengan terma-terma yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi bertarikh 16 Mac 2011.

 

Dengan pelanjutan itu, Pharmaniaga memberi jaminan bahawa logistik dan pengedaran bekalan perubatan akan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

 

Pada 18 November  2019, PLSB menerima surat daripada KKM yang telah memperluaskan perkhidmatannya untuk menyediakan ubat-ubatan dan bekalan perubatan kepada fasiliti KKM dari 1 Disember 2019 hingga 31 Disember 2021. 

 

PLSB juga dibenarkan untuk terus menyediakan perkhidmatan logistik serta pengedaran kepada KKM selama lima tahun berakhir 31 Disember 2024, kata kenyataan itu. - DagangNews.com