Kementerian Pendidikan beri keutamaan isu sekolah terbengkalai | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pendidikan beri keutamaan isu sekolah terbengkalai

JENJAROM 18 Mac - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberi penekanan terhadap projek 'sekolah sakit' atau pembinaan terbengkalai bagi menyelesaikan masalah kepadatan tinggi di sesebuah sekolah akibat ketiadaan institusi pendidikan yang mencukupi.

 

Isu ini juga akan diberikan keutamaan oleh KPM bagi menyuraikan tekanan tinggi ibu bapa yang terpaksa menghantar dan mengambil anak mereka di sekolah yang lebih jauh, pada setiap hari.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihak KPM mempunyai beberapa senarai 'sekolah sakit' yang dikenal pasti untuk dibaikpulih dan dibina kembali, khususnya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

 

Katanya, isu pembinaan sekolah terbengkalai akan lebih membebankan kerajaan sekiranya ia dibiarkan terlalu lama tanpa dibaiki kerana membabitkan kos yang lebih tinggi.

 

"Kita akan memberi keutamaan terhadap sekolah terbengkalai dalam usaha memberi kemudahan kepada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah yang lebih jauh pada setiap hari.

 

"Sebagai contoh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon di Kota Merudu, Sabah yang pelajarnya terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkon tetapi Alhamdullilah kita selamatkan dan perkembangan (pembinaan) institusi itu cukup baik sekali. Ia akan disiapkan mengikut jadual.

 

 

kpm
Datuk Dr Radzi Jidin

 

 

"Begitu juga SK Bandar Saujana Putra, di sini yang akan siap sekitar bulan September depan," katanya pada sidang media selepas selesai program penyerahan kunci SMK Bandar Saujana Putra, di sini hari ini, lapor Berita Harian.

 

Beliau berkata, perancangan pembinaan sekolah yang terbengkalai akan berada konteks pembangunan infrastruktur KPM hari ini. - DagangNews.com