Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi peruntuk RM23.85 juta tambah baik sistem | DagangNews Skip to main content

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi peruntuk RM23.85 juta tambah baik sistem

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memperuntukkan sebanyak RM23.85 juta untuk tujuan menaik taraf pejabat.

 

Peruntukan berkenaan digunakan untuk pelaksanaan khidmat sokongan ibu pejabat termasuk sewaan bangunan kementerian di Putrajaya yang wajib dibayar berdasarkan kontrak berjumlah RM13.75 juta bermula tahun 2005.

 

Selain itu, Menteri KPPK, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (gambar atas) berkata, sebanyak RM1.1 juta pula diperuntukkan bagi pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk Pembangunan Sistem Aplikasi Pengurusan Perlesenan Biobahan Api dan Platform Perkongsian Data Komoditi.

 

“Kedua-dua sistem terbabit bertujuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kementerian serta agensi-­agensi di bawah KPPK.

 

Peruntukan tersebut juga adalah untuk keperluan pelaksanaan projek sambung RMK-11 iaitu Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian (JLPK) berjumlah RM9 juta.

 

“Projek itu dilaksanakan di seluruh Malaysia bagi kemudahan dan sokongan infrastruktur kepada pekebun-pekebun kecil di bawah kementerian ini membabitkan sektor sawit, getah, lada, koko dan kenaf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang menyatakan bahawa KPPK tidak meletakkan keutamaan bagi perbeIanjaan tahun 2021.

 

Katanya, KPPK komited memastikan usaha meningkatkan produktiviti dan prestasi penjawat awam.

 

Disebabkan itu, sebanyak RM200,000 diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi Program Pembangunan Kepakaran Surnber Manusia di bawah ibu pejabat untuk meningkatkan kepakaran pegawai-pegawai di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

 

Tambah Mohd. Khairuddin, latihan pernbangunan pegawai yang berkemahiran tinggi perlu diberi keutamaan selaras dengan Teras RMK-12: Menginstitusi Reformasi Sektor Awam untuk Memastikan Penyampaian Perkhidmatan Awam Yang Berkesan.

 

Sehubungan itu, keseluruhan sumber kewangan tersebut bukanlah untuk kerja-kerja menaik taraf pejabat kementerian, sebaliknya bertujuan membiayai bayaran sewaan, pembangunan ICT dan penyediaan infrastruktur pekebun kecil yang diperlukan untuk meningkatkan sistem penyampaian kementerian kepada rakyat.

 

KPPK menegaskan segala perancangan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kementerian dan berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang berkesan dalam menjayakan pelaksanaannya demi merancakkan perancangan pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan,” tambahnya lagi. – DagangNews.com