Kementerian Sumber Manusia, HRD Corp buat laporan SPRM susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara - Steven Sim | DagangNews Skip to main content

Kementerian Sumber Manusia, HRD Corp buat laporan SPRM susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara - Steven Sim

Ibu pejabat SPRM Putrajaya. Gambar DagangNews.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Julai - Kementerian Sumber Manusia membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 ke atas agensinya, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

 

Menterinya, Steven Sim berkata, Kementerian Sumber Manusia tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

 

 

Katanya, Kementerian Sumber Manusia mengambil serius laporan-laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen pada 4 Julai 2024. 

 

mohr
STEVEN SIM - Gambar KESUMA

 

"Proses pengauditan tersebut adalah terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023. Saya telah dimaklumkan tentang proses pengauditan oleh kedua-dua badan ini ketika saya mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember 2023, lantas mengarahkan kementerian an HRD Corp  untuk memberikan kerjasama penuh kepada JAN dan PAC.

 

"Sejajar syor Ketua Audit Negara, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Khairul Dzaimee, dan Ketua Eksekutif HRD CORP Datuk Wira Shahul Dawood, untuk membuat laporan kepada SPRM tentang penemuan laporan-laporan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, dalam masa enam bulan ini, Kementerian telah memulakan proses rekayasa (reengineering) merentasi seluruh kementerian, untuk memastikan tatakelola yang baik dan proses yang cekap di seluruh Kementerian dan agensinya. 

 

"Rekayasa Kementerian Sumber manusia di peringkat HRD Corp telah dilaksanakan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC tidak akan berulang," jelasnya.

 

Sementara itu, HRD Corp semalam menjelaskan yang Lembaga Pengarahnya mengambil maklum laporan JAN dan PAC dengan audit dalam kedua-dua laporan dilaksanakan terhadap HRD Corp untukctempoh 2019 hingga 2023 yang menyaksikan beberapa tindakan penambahbaikan telah dilaksanakan berikutan teguran-teguran audit tersebut.

 

Katanya, atas arahan Menteri Sumber Manusia untuk Rekayasa kementerian, HRD Corp juga telah melaksanakan reformasi proses untuk menambah baik tatakelola organisasi pada tahun ini. 

 

jan

 

ARTIKEL BERKAITAN: HRD Corp didedah guna RM3.77 bilion hasil kutipan levi untuk pelaburan - PAC

 

Kata agensi itu, ini termasuk pengenalan Akaun Inisiatif Strategik (SIA) yang berasingan dengan akaun amanah levi yang bertujuan untuk memastikan pengurusan kewangan yang lebih telus dan cekap.

 

"HRD Corp ingin menegaskan bahawa levi majikan sememangnya hanya digunakan untuk tujuan
latihan pekerja mereka sahaja selama ini. 

 

"Namun, langkah pengasingan akaun ini memperkukuhkan lagi proses untuk memastikan levi majikan hanya digunakan untuk tujuan latihan kemahiran pekerja majikan berdaftar sahaja dan bukan untuk tujuan lain. 

 

"Akaun Inisiatif Strategik pula dibiayai melalui Keuntungan Terkumpul PSMB (dan bukan menggunakan dana levi), dengan tujuan menyokong peningkatan kemahiran dan pembangunan modal insan dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikroPKS, dan komuniti rentan," jelasnya.

 

Tambah HRD Corp, pihaknya juga memperketat proses dalaman bagi mendapatkan kelulusan Panel Pelaburan yang merangkumi sebahagian Ahli-ahli Lembaga Pengarah yang berpengalaman dalam bidang pelaburan. 

 

"Ini termasuk memperkasakan bahagian perbendaharaan PSMB yang akan menjalankan due diligence atau usaha wajar untuk setiap pelaburan," katanya.- DagangNews.com