Kementerian Sumber Manusia tangguh Levi Pelbagai Peringkat hingga 1 Januari 2022 | DagangNews Skip to main content

Kementerian Sumber Manusia tangguh Levi Pelbagai Peringkat hingga 1 Januari 2022


KUALA LUMPUR 5 Jun - Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 2 Jun lalu, bersetuju untuk melanjutkan penangguhan pelaksanaan Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy) bagi penggajian pekerja warga asing hingga 1 Januari 2022.

 

Sebelum ini, Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy) telah ditangguhkan pelaksanaannya dari 1 Januari 2021 hingga 1 Julai 2021.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan berkata, kerajaan amat prihatin dengan cabaran Negara pada masa kini dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi susulan daripada pandemik COVID-19 yang masih belum dapat diatasi sepenuhnya serta memberikan impak besar kepada industri
termasuk majikan. 

 

"Saya turut memaklumkan ahli mesyuarat mengenai mekanisme pelaksanaan Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy) di mana penggajian pekerja warga asing adalah berdasarkan keperluan sebenar industri.

 

"Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy) dijangka dapat mengurangkan kebergantungan tinggi negara kepada pekerja warga asing kerana kadar levi akan meningkat mengikut siling kebergantungan," katanya dalam kenyataan di sini.

KSM
Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan

 

KSM akan menggunakan modul eQuota di bawah Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) bagi melaksanakan Levi Pelbagai Peringkat (Multi Tier Levy) ini kelak.

 

FWCMS adalah sebuah sistem digital yang holistik bagi pengurusan pekerja asing di negara ini dengan mempunyai 14 modul berasingan yang saling berhubung kait selain daripada eQuota. Ini termasuklah eWages, eEnforcement dan eComplaint.

 

Aplikasi Working for Workers (WFW) yang diperkenalkan oleh KSM pada 3 Mei 2021 untuk pekerja mengemukakan 17 kategori aduan perburuhan secara dalam talian adalah terkandung dibawah modul eComplaint.

 

Selain itu, penggunaan modul eQuota juga akan dapat memastikan ketelusan proses penentuan kelayakan kuota pekerja asing kepada majikan dan akan digunakan untuk pengambilan pekerja-pekerja warga asing baru dari negara sumber. 

 

Pada masa yang sama, KSM tetap dan akan terus komited untuk memberikan keutamaan kepada pekerja-pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan sedia ada.

 

KSM menggesa agar orang awam khususnya golongan belia melayari portal pekerjaan nasional di www.myfuturejobs.gov.my untuk tujuan pendaftaran serta penempatan kekosongan jawatan yang bersesuaian. - DagangNews.com