Kementerian Sumber Manusia terima 243 aduan berhubung subsidi gaji | DagangNews Skip to main content

Kementerian Sumber Manusia terima 243 aduan berhubung subsidi gaji

Awang Hashim

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Kementerian Sumber Manusia mendedahkan pihaknya telah menerima sebanyak 243 aduan oleh pekerja terhadap majikan yang melanggar syarat di bawah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim (gambar) berkata, sebanyak 215 aduan berkenaan berkaitan PSU, manakala selebihnya berhubung ERP.

Susulan itu, Awang menjelaskan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mempunyai hak untuk menggantung pembayaran dan menarik semula permintaan tuntutan yang telah diberikan. 

Majikan juga boleh disenaraihitam sekiranya gagal membuat pembayaraN kepada pekerja.

“Tindakan undang-undang juga akan diambil ke atas majikan yang gagal mematuhi syarat ditetapkan,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah yang meminta Kementerian Sumber Manusia untuk mendedahkan bilangan pekerja yang memohon subsidi ERP serta jumlah aduan yang diterima dan tindakan diambil ke atas majikan. 

Tambah Awang, sekiranya majikan didapati gagal mematuhi syarat berkenaan, pihak kementerian akan berhenti menyalurkan wang bagi bulan-bulan seterusnya, sekali gus laporan polis akan dibuat. 

Senarai majikan yang membuat permohonan boleh dilihat menerusi pautan Perkeso.

Ini bertujuan memudahkan pekerja untuk membuat semakan dan melaporkan aduan sekiranya tidak berpuas hati terhadap majikan berhubung program yang dilaksanakan itu. 

Bagi mengawal selia permohonan dan aduan yang diterima, Perkeso telah menubuhkan satu pasukan petugas khas.

Dalam masa sama, aduan boleh dibuat kepada kaunter khidmat pelanggan serta talian hotline yang disediakan. - DagangNews.com