Kementerian Tenaga dan Sumber Asli cadang tubuh jabatan khusus pembahagian harta pusaka | DagangNews Skip to main content

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli cadang tubuh jabatan khusus pembahagian harta pusaka

Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyampaikan cenderahati kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada majlis pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka peringkat Kedah pada 14 Februari 2022.

SIK 14 Feb - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bercadang mewujudkan satu jabatan atau agensi khusus di bawah kementerian itu bagi menguruskan kes tunggakan dan pembahagian harta pusaka yang semakin meningkat setiap tahun.

 

Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pada masa ini tanggungjawab itu dilaksanakan Bahagian Pembahagian Harta Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) di bawah kementerian itu yang menghadapi kekangan untuk menguruskan kes yang banyak.

 

"Kita nak supaya satu jabatan berdiri sendiri menguruskan harta pusaka yang mana ada ketua pengarah dia sendiri dan juga ada pengarah-pengarah di peringkat negeri serta kakitangan. Sekarang ini belum ada. 

 

"Kini, kita dalam proses untuk pelaksanaan mewujudkan sebuah jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pembahagian pusaka daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), jadi sekarang sudah sampai di peringkat JPA," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka peringkat Kedah di sini hari ini.

 

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, lapor Bernama.

 

Takiyuddin berkata pada masa ini terdapat kira-kira 60,000 permohonan baharu berkaitan pembahagian pusaka diterima Bahagian Pembahagian Harta Pusaka setiap tahun yang turut menguruskan kes-kes tunggakan sedia ada.

 

Selain itu, katanya pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) baru-baru ini yang antaranya bertujuan memperluaskan bidang kuasa JKPTG dalam pengurusan pusaka dijangka akan menyebabkan jabatan itu perlu menguruskan lebih banyak kes selepas pindaan itu dikuatkuasakan.

 

"Pindaan akta ini akan meningkatkan nilaian bidang kuasa JKPTG daripada RM2 juta kepada RM5 juta. Jadi nilai ini amat besar yang seterusnya memerlukan sebuah jabatan khusus untuk menguruskan pembahagian pusaka," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Akta Pembahagian Pusaka Kecil (Pindaan 2022), diwarta 25 Jan 2022

 

Mengulas lanjut mengenai Akta 98 itu, beliau berkata, ia telah diluluskan di Parlimen pada Disember lepas dan mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong untuk diwarta dan dikuatkuasakan.

 

 

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli

 

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli

 

 

"Jadi saya sudah beritahu kepada JKPTG supaya perwartaan ini dibuat segera dalam tempoh sebulan ini, kemudian pindaan ini boleh dikuatkuasakan," katanya.

 

Sementara itu, Takiyuddin berkata, bagi menguruskan kes-kes tunggakan pusaka ketika ini, JKPTG akan mewujudkan sebuah pasukan khas untuk memastikan keskes tersebut dapat dikendalikan dan diselesaikan secepat mungkin mengikut kaedah-kaedah yang sesuai. - DagangNews.com