Kemerosotan ekonomi akibat COVID-19 berbeza dengan krisis kewangan 1997, 2008 | DagangNews Skip to main content

Kemerosotan ekonomi akibat COVID-19 berbeza dengan krisis kewangan 1997, 2008

Gambar oleh Reuters

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kemerosotan ekonomi negara yang terjejas akibat COVID-19 berbeza dengan situasi ketika krisis kewangan Asia (AFC) pada 1997 dan krisis kewangan global (GFC) pada 2008.

Dari segi trend pembayaran hutang yang gagal (default) ketika AFC dan GFC, ia secara ketara hanya melibatkan sektor perindustrian, hartanah serta perdagangan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) memberi amaran bahawa default kali ini akan menjejaskan lebih banyak industri kerana penularan wabak pandemik itu memberi kesan yang besar terhadap ekonomi. 

Risiko kredit meningkat susulan pandemik COVID-19 mengakibatkan kemerosotan ekonomi dengan teruk. Ini adalah cabaran yang tidak pernah dihadapi oleh kebanyakan perniagaan, aliran tunai dan kecairan perniagaan juga terjejas.

“Jumlah kredit korporat yang boleh berpotensi mencatatkan prospek negatif akan melonjakkan risiko default,” jelas Maybank IB. 

Maybank IB menggambarkan bahawa tahun 2020 berkemungkinan menyaksikan lebih banyak syarikat terjejas akibat peningkatan risiko kredit atau pinjaman terutamanya melibatkan sektor hartanah dan Amanah Pelaburan Harta Tanah (REIT).

Pada akhir Jun 2020, terdapat 349 penerbit korporat yang mempunyai bon tertunggak.

“Kadar default 5% melibatkan 17 hingga 18 penerbit, jumlah tinggi yang sama dicatatkan ketika AFC, manakala kadar default 10% akan melihat sebanyak 34 hingga 35 penerbit.

“Berdasarkan trend default yang lalu, majoriti penerbit melibatkan sektor perindustrian, hartanah serta perdagangan dan perkhidmatan,” tambah Maybank IB. 

Penularan COVID-19 yang kian meningkat mencabar pelbagai sektor ekonomi untuk terus bertahan dan prospek kredit negara juga sukar diramal.

Malah, syarikat yang mempunyai profil kredit negatif akan menerima tekanan lebih tinggi sekiranya gelombang kedua jangkitan COVID-19 melanda negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan semula. - DagangNews.com