Kemerosotan nilai ringgit bermakna kenaikan kos operasi bagi Power Root - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kemerosotan nilai ringgit bermakna kenaikan kos operasi bagi Power Root - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Feb - Kemerosotan nilai ringgit ketika ini bermakna peningkatan kos pengeluaran kepada syarikat pengeluar produk minuman, Power Root Berhad.

 

Sehubungan itu, RHB Investment Bank (RHB Investment) berkata, syarikat itu sedang berusaha memindahkan kenaikan kos operasi dengan membuat pelarasan harga kepada produknya di pasaran terpilih.

 

Katanya, selain itu, pihak pengurusan Power Root juga dijangkakan berusaha mengecilkan jurang harga berbanding pesaing utama.

 

"Jualan Power Root dalam tempoh 9MFY24 adalah lebih lemah daripada jangkaan. 

 

"Walaupun kami percaya jualan mungkin terjejas dengan kesan pelarasan inventori yang semakin berkurangan, kami terus kekal berhati-hati memandangkan sentimen pengguna yang lemah di Malaysia dan cabaran untuk mengembangkan jualan eksport," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jualan ekosport dipercayai telah mencecah paras terendah dalam 3QFY24 dengan lantunan semula dijangkakan pada 4QFY24 selepas lebih stok dikurangkan.

 

Katanya, bagi pasaran tempatan, pihak pengurusan sedang berusaha mengurangkan kesan daripada produk-produk yang kurang menjadi pilihan pengguna dan saluran jualan menerusi pelbagai strategi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Power Root kemuka rayuan terhadap tuntutan ganti rugi RM23 juta daripada CV Ego berhubung tanda dagang 'Ah Huat' di Indonesia

 

"Hasil YoY, 9MFY24 merosot 12% kepada RM305 juta dengan kedua-dua pasaran domestik (-12%) dan eksport (-13%) mencatatkan penurunan berikutan pelarasan inventori dan persekitaran penggunaan yang lembap.

 

"Sejajar dengan itu, keuntungan operasi 9MFY24 turun 30% YoY kepada RM35 juta, turut dipengaruhi oleh campuran saluran jualan yang tidak menggalakkan dan perbelanjaan pemasaran yang lebih tinggi untuk pelancaran produk baharu," ujarnya.

 

 

RHB Investment dalam pada itu menyemak semula Power Root daripada saranan 'Jual' kepada 'Neutral' dengan harga sasaran baharu RM1.60 sesaham.

 

Power Root mengeluarkan produk minuman di bawah jenama Alicafe, Per’l, Ah Huat, Alitea, Oligo, Per’l Café, Ah Huat Coco, dan Power Root Extra.- DagangNews.com