Kempen Deposit Impak Sosial Maybank bantu pelanggan terjejas COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Kempen Deposit Impak Sosial Maybank bantu pelanggan terjejas COVID-19

Maybank

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Kumpulan Maybank melalui Maybank Islamic memperkenalkan kempen Deposit Impak Sosial yang pertama di Malaysia untuk memberi sokongan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, inisiatif tersebut adalah sejajar dengan usaha Kumpulan Maybank bagi membantu pelanggannya yang terkesan oleh penularan pandemik COVID-19 yang sedang berlaku.

“Penularan pandemik itu memberi kesan yang amat besar bagi kebanyakan orang dan kami percaya bahawa kami berada dalam posisi yang unik untuk membantu membina semula kehidupan masyarakat yang terkesan pada waktu mencabar ini. 

"Oleh itu, kami memperkenalkan kempen Deposit Impak Sosial bagi membolehkan anggota masyarakat lain yang mempunyai niat yang sama untuk bersama-sama merealisasikan usaha murni berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohamed Rafique Merican
Mohamed Rafique Merican

 

Deposit Impak Sosial merupakan satu kempen di bawah Akaun Simpanan Berjangka (IFD-i) yang menawarkan peluang deposit minimum sebanyak RM1,000 ke dalam IFD-i selama enam bulan. 

Ketika pelanggan menerima pulangan yang setanding dengan kadar semasa papan deposit tetap, Maybank Islamic secara berasingan akan menyumbang 0.3% (p.a) setahun ke akaun khas iaitu Akaun Bantuan Impak Sosial untuk setiap deposit yang dibuat dalam tempoh kempen itu berlangsung. 

Akaun khas tersebut disediakan untuk memberi sokongan kepada pelanggan Maybank Islamic yang dikenal pasti memerlukan bantuan kewangan kerana kehilangan pendapatan atau pekerjaan akibat pandemik tersebut. 

Kempen itu juga sejajar dengan Agenda Pembangunan Mampan Kumpulan Maybank serta komitmen untuk menerapkan amalan prinsip Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang baik sekali gus memberikan penyelesaian yang bermakna kepada masyarakat.

Tambah beliau, pihaknya juga sentiasa komited dalam usaha untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan persekitaran melalui produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.

"Kempen Deposit Impak Sosial memberi peluang kepada kami untuk meneruskan usaha ini dan bekerjasama dengan pihak tertentu untuk meringankan beban kehidupan masyarakat yang terkesan serta mengatasi krisis ini bersama-sama. Kita Jaga Kita," ujarnya lagi.

Tempoh tawaran Deposit Impak Sosial bermula pada 15 Oktober hingga 31 Disember 2020.

Pelanggan juga boleh membuat penempatan deposit melalui Maybank2u atau di mana-mana cawangan Maybank serta Maybank Islamic di seluruh negara. - DagangNews.com