Kempen Kesedaran Penipuan atau Scam dilancarkan di peringkat kebangsaan | DagangNews Skip to main content

Kempen Kesedaran Penipuan atau Scam dilancarkan di peringkat kebangsaan

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar bersama pengemudi bank dan peratuan bank pada majlis pelancaran Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2022.

KUALA LUMPUR 30 Okt - Peserta industri perbankan melancarkan Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan dengan menampilkan satu logo yang memudahkan orang ramai mengingat tiga langkah mudah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

 

Logo tiga langkah mudah itu juga dikenali sebagai peraturan tiga saat iaitu AWAS, FIKIR, BLOK (STOP, THINK, BLOCK), yang memberi peringatan kepada orang ramai supaya berwaspada apabila mereka menerima sebarang panggilan, mesej atau e-mel daripada pihak yang tidak dikenali.

 

Bersama dengan cogan kata 'Ingat 3 Saat OK' dan hashtag #JanganKenaScam, industri perbankan menggesa orang ramai untuk mengingati peraturan tiga saat itu agar kekal selamat dan tidak menjadi mangsa penipuan.

 

Kempen itu dilancarkan secara bersama oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM), Berita Harian melaporkan.

 

Pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar; Pengerusi ABM, Datuk Khairussaleh Ramli; Presiden AIBIM, Mohd Muazzam Mohamed dan Naib Pengerusi ADFIM, Jay Khairil Jeremy Abdullah.

 

 

Datuk Marzunisham Omar
                                                          Datuk Marzunisham Omar

 

 

Pada pelancaran kempen itu, Marzunisham berkata, mengikut Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih 12,000 kes penipuan secara dalam talian dilaporkan membabitkan kerugian RM414.8 juta antara Januari dan Julai tahun ini.

 

Justeru, beliau berkata, keutamaan BNM ialah memastikan saluran perbankan dan pembayaran kekal selamat dan terkawal.

 

Katanya, nasihat keselamatan baharu dan langkah keselamatan tambahan yang perlu diambil oleh bank akan dikeluarkan dari semasa ke semasa memandangkan taktik yang digunakan penjenayah sentiasa berubah-ubah.

 

Ia termasuk lima langkah yang diumumkan pada 26 September lalu untuk mengukuhkan lagi kawalan dan perlindungan bank terhadap penipuan kewangan, jelasnya.

 

"Saya berbesar hati melihat bank memberikan komitmen jitu mereka dan membuat kemajuan dalam melaksanakan langkah-langkah ini.

 

"Sebagai contoh, bank mempercepatkan peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) yang berasaskan SMS kepada bentuk pengesahan yang lebih selamat semasa melakukan transaksi dalam talian seperti melalui aplikasi perbankan mudah alih perbankan dan token perkakasan," katanya.

 

Marzunisham berkata, kerajaan baru-baru ini mengumumkan penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), pusat arahan untuk menyelaraskan tindak balas pantas bagi penipuan kewangan dalam talian.

 

Beliau berkata, mangsa penipuan kewangan boleh menghubungi talian hotline bank mereka atau talian hotline NSRC 997 untuk membuat laporan.

 

"Saya juga ingin mengingatkan dalam usaha untuk mengesan dan memintas dana yang dicuri, dan untuk mengelakkan kerugian selanjutnya, masa adalah penting.

 

"Justeru, mangsa mesti segera menghubungi bank mereka atau 997 sebaik saja mereka mendapati bahawa mereka telah ditipu," katanya.

 

Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan itu akan dimulakan pada November sebagai kesinambungan usaha industri perbankan untuk memerangi penipuan serta mendidik pengguna mengenai penipuan sambil berkongsi petua-petua mudah untuk kekal selamat dalam talian.

 

Kempen itu melengkapkan lima langkah pencegahan tambahan yang akan diambil oleh bank-bank untuk memerangi penipuan kewangan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar kami yang bertarikh 27 September 2022.

 

Orang ramai boleh merujuk kepada laman web dan halaman media sosial bank masing-masing, laman web (https://www.abm.org.my/consumer-information/safe-online-banking) dan halaman Instagram ABM (@abm.org.my), laman web (www.aibim.com) dan media sosial AIBIM (@_aibim).

 

Orang ramai juga boleh melawat halaman Amaran Scam Facebook BNM (https://www.facebook.com/amaranpenipuan) untuk maklumat terbaru mengenai taktik penipuan terkini dan amalan kebersihan siber yang penting untuk melindungi diri mereka daripada penipuan. - DagangNews.com