Ken Phua dipilih sebagai Presiden MRCA ke-10 | DagangNews Skip to main content

Ken Phua dipilih sebagai Presiden MRCA ke-10

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 April - Datuk Ken Phua dari Bentley Music Group dipilih sebagai presiden ke-10 Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu baru-baru ini bagi menggantikan Datuk Sharan Valiram. 

 

AGM ke-27 itu berlangsung pada 18 April 2024 di The Ritz-Carlton Kuala Lumpur. 

 

Semasa sesi pengundian, ahli biasa membuang undi secara digital melalui perisian pengundian dan ia dihadiri 118 ahli.

 

Ken berkata, beliau akan memberi fokus kepada enam bidang utama sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan slogan "Reunite, Voice, and Triumph for Retailers".

 

"Ini termasuk dengan melaksanakan teknik keberkesanan rangkaian, globalisasi, budaya pembelajaran berterusan, penglibatan dengan pihak berkuasa, penerimaan penggerak utama dan tradisi bergerak seiring dengan inovasi.

 

"Beliau juga akan melaksanakan teknik keberkesanan rangkaian melibatkan penglibatan empat tonggak MRCA bagi mendapatkan manfaat melalui perkongsian dan pembelajaran faktor kejayaan utama mengenai cara peruncit menyelesaikan serta mencari penyelesaian dalam persekitaran yang tidak menentu," kata MRCA dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MRCA berkata, menghargai globalisasi merujuk kepada penyediaan platform peruncitan untuk ahli MRCA menjalin rangkaian dengan pemain tempatan dan antarabangsa dalam industri runcit dan francais selain meningkatkan pemahaman terhadap globalisasi.

 

Katanya, budaya pembelajaran berterusan adalah penting kerana ia akan memupuk budaya positif dalam kalangan peruncit dengan membantu mereka berhubung dengan Bahagian Sokongan Akademi MRCA.

 

"Mendapatkan ilmu pengetahuan melalui program latihan untuk peruncit, menggunakan pelbagai geran/inisiatif pihak berkuasa untuk memastikan ahli MRCA mengikuti perkembangan dasar ekonomi yang mempengaruhi pemain industri runcit.

 

"Penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), komitmen terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memberi kelebihan kepada peruncit sekali gus mengelakkan gangguan model perniagaan disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi. 

 

"Pengekalan tradisi serta budaya MRCA dan pada masa sama terbuka kepada perubahan selain menerima cabaran baharu melalui inovasi kepada peruncit era moden," katanya. - DagangNews.com