Kenaikan harga bahan mentah dijangka reda mulai separuh kedua 2022 | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga bahan mentah dijangka reda mulai separuh kedua 2022

Gambar : Facebook Fama Negeri Melaka
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Feb - CGS-CIMB Research menyemak naik penarafan sektor ruji pengguna kepada 'overweight' berbanding 'neutral' sebelum ini, berikutan prospek pendapatan dan penilaian yang lebih baik.

 

Menurutnya, kadar vaksinasi tinggi dan kelonggaran sekatan pergerakan sejak 11 Oktober lalu, saham-saham berkaitan pengguna sepatutnya mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terutamanya menerusi segmen hotel, restoran dan kafe (HORECA).

 

Malah, katanya, saham berkaitan penggunaan berhemah juga akan memperoleh manfaat daripada kehadiran pengunjung dan peningkatan perbelanjaan. 

 

"Kami menjangkakan kelonggaran sekatan pergerakan membolehkan syarikat pengguna meningkatkan jualan atau pengeluaran, yang sepatutnya memberi hasil lebih tinggi dan skala ekonomi yang lebih besar," katanya dalam nota kajian.

 

Firma itu meletakkan 3 saham syarikat yang menjadi pilihannya bagi sektor ruji pengguna iaitu Berjaya Food Bhd., Bonia Corp. Bhd. dan QL Resources Bhd. 

 

Ia memberi saranan 'tambah' kepada ketiga-tiga saham ini dengan harga sasaran masing-masing pada RM4.40, RM2.50 dan RM5.50.

 

CGS-CIMB menjangkakan untung bersih teras kumulatif bagi syarikat pengguna di bawah liputannya akan mencatat pertumbuhan 2 digit antara 13.8 hingga 15.5% bagi 2022 hingga 2023, selepas mengalami pertumbuhan lembap ketika tempoh pandemik.

 

Dalam pada itu, firma tersebut berpendapat pemberian bantuan tunai seperti diumumkan dalam Bajet 2022 berjumlah RM8.2 bilion kepada isi rumah dan individu bersasar dapat memberikan bantuan sementara. 

 

Malah, katanya, inisiatif kerajaan untuk menyediakan insentif dan subsidi kepada pemain sektor penternakan ayam dapat membantu mengurangkan kos input yang lebih tinggi. 

 

"Kami menjangkakan subsidi yang diberikan kerajaan dapat membantu pemain sektor ini menyerap tekanan kos input yang lebih tinggi (seperti harga dedak yang telah meningkat sebanyak 30 hingga 40% dalam tempoh 3 bulan lalu)," jelasnya.

 

Pada masa sama, ia turut menjangkakan kenaikan harga bahan mentah yang tinggi akan berkurangan secara beransur-ansur pada separuh kedua 2022 apabila bekalan kembali normal.

 

"Apabila masalah kekurangan buruh semakin reda mulai suku kedua dengan lebih banyak pekerja mula menjalankan aktiviti menanam dan menuai, ia akan menyaksikan pengeluaran syarikat kembali meningkat, justeru kenaikan dalam bekalan akan mula memberi tekanan kepada harga bahan mentah. 

 

"Selain itu, syarikat juga boleh memilih untuk menangguhkan atau mengoptimumkan pembelian mereka jika harga bahan mentah kekal tinggi," katanya. - DagangNews.com