KUALA LUMPUR 18 April - CGS-CIMB Research menjangkakan InNature berhad akan mencatatkan keuntungan kasar lebih tinggi pada FY22 selepas menaikkan harga untuk produk-produk mereka.
Firma penyelidikan itu percaya mereka akan melihat peningkatan antara 2% ke 3% keuntungan kasar selepas berlaku peningkatan harga secara purata 15% untuk 120 produk selain pengenalan produk dengan pembungkusan baharu.
"InNature berkata, permintaan terhadap produk mereka dijangka berdaya tahan selepas menyaksikan pembelian berulang yang menyumbang kepada 76% hasil pendapatan pada FY21.
"Selain semakin ramai pembeli bertukar daripada pembelian jenama mewah kepada produk 'masstige' walaupun berharga lebih tinggi berbanding jenama biasa namun masih mampu dimiliki berbanding jenama terkemuka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan hasil jualan di Malaysia akan meningkat menjelang Mei 2022 bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, jualan pada bulan puasa agak perlahan di Malaysia dan InNature berkongsi jumlah jualan dalam minggu pertama April 2022 dan melihat pertumbungan satu digit itu sebagai sesuatu yang menggalakkan.
"Dalam tempoh sama, kami mengumpulkan maklumat operasi dari Vietnam dan menyaksikan penurunan kecil dari segi jualan manakala operasi di Kemboja peningkatan berganda selepas tiada lagi larangan pergerakan.
"InNature membuka cawangan ke-40 di Vincom Smart City, Hanoi pada April 2022 dan menyasarkan pembukaan dua lagi cawangan di Vietnam dan satu lagi di Kemboja pada suku tahun berikutnya," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM0.84 selepas mengambil kira kekuatan jenama The Body Shop serta kedudukannya sebagai dalam amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). - DagangNews.com