Kenaikan kadar tol 2021 ditangguh | DagangNews Skip to main content

Kenaikan kadar tol 2021 ditangguh

Kadar tol

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 April - Kerajaan melalui Mesyuarat Kabinet pada 28 April baru-baru ini bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol tahun 2021, mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

 

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penangguhan tersebut dibuat di atas keprihatinan terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat kesan penularan wabak COVID-19.

 

"Penangguhan berkenaan melibatkan tiga lebuh raya yang sepatutnya mendapat kenaikan kadar tol mulai 1 Januari 2021 iaitu Lebuh raya Shah Alam (KESAS), Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

 

"Selain itu terdapat lebuh raya dan plaza tol yang diteruskan penangguhan kenaikan kadar tol yang telah diberi penangguhan sebelum ini.

 

"Ia melibatkan 21 lebuh raya dan 1 plaza tol (ditangguhkan semua kelas kenderaan) antaranya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX), 1 lebuh raya dan 2 plaza tol (ditangguhkan kenderaan Kelas 1 dan kelas 5 sahaja), 1 lebuh raya dan 3 plaza tol (ditangguhkan kenderaan kelas 5 sahaja) dan 1 lebuh raya (ditangguhkan kenderaan kelas 2,3,4 dan 5 sahaja)," katanya dalam satu kenyataan.

 

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof.

 

Beliau memberitahu, susulan penangguhan tersebut, kerajaan perlu menanggung anggaran pampasan sebanyak RM2.25 bilion.

 

Dalam pada itu,  perundingan untuk menstrukturkan semula kadar tol secara bersama dengan syarikat konsesi masih lagi berjalan dan Kabinet telah bersetuju untuk dimuktamadkan sebelum 2023.

 

Jelas beliau, anggaran pampasan berkenaan adalah berdasarkan formula pengiraan pampasan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

 

Jumlah sebenar bayaran pampasan tol bagaimanapun akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia. - DagangNews.com