KUALA LUMPUR 2 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad akan terus berhadapan kenaikan bahan mentah dan perbelanjaan operasi sehingga hujung tahun ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu akan terus menaikkan harga beberapa produknya untuk melindungi marginnya kesan daripada kenaikan kos.
Katanya, Panasonic sebelum ini sudah menaikkan harga jualan antara 5% hingga 10% untuk sesetengah model dalam usaha menimbangi kenaikan kos bahan mentah.
"Kumpulan itu dijangka menggunakan pendekatan sama untuk beberapa lagi produk pada 2H22.
"Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa kumpulan itu hanya akan dapat menyalurkan sebahagian kos kepada pengguna dan masih perlu menghadapi tekanan margin keuntungan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, pendapatan kumpulan itu juga dijangka terkesan dengan penamatan segmen periuk nasi dan peralatan dapurnya.
Firma itu berkata, terdapat kos penstrukturan semula sebanyak RM12.2 bilion untuk penamatan produk periuk nasi menyebabkan kerugian sejak beberapa tahun lalu disebabkan kos bahan mentah yang tinggi.
Beberapa produk perkakas dapur juga akan ditamatkan pada FY23 disebabkan penjajaran semula pengeluaran global untuk kumpulan itu.
"Berdasarkan panduan pengurusan, penamatan pembuatan periuk nasi dan peralatan dapur akan memberi kesan kepada pendapatannya masing-masing sebanyak 6% dan 7%," katanya.
Kumpulan itu juga mengalami kerugian besar daripada kerosakan inventori dan kemudahan berikutan kejadian banjir di kilang SA2 pada Disember 2021. Insiden itu turut mengganggu operasi jualannya pada FY22.
"Jumlah kerugian yang dialami kumpulan adalah sekitar RM24.7 juta dan kami difahamkan insurans yang dituntut setakat ini hanya meliputi 49% daripada jumlah kerugian dengan baki jumlah masih dalam semakan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga tidak berubah RM22.23. - DagangNews.com