Kenaikan OPR: Pinjaman jadi lebih mahal, beri kesan kepada B40 - SPCAAM | DagangNews Skip to main content

Kenaikan OPR: Pinjaman jadi lebih mahal, beri kesan kepada B40 - SPCAAM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) menyebabkan pinjaman kewangan menjadi lebih mahal sekali gus memberi kesan kepada golongan B40, menurut Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM).

 

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D'Angelus berkata, sebaliknya BNM perlu melaksanakan dasar memenuhi keperluan dan kebaikan membabitkan seluruh sektor masyarakat.

 

Katanya, komuniti B40 negara bukanlah spekulator atau pengambil risiko, yang mana mereka tidak mempunyai kedudukan untuk melabur atau menyimpan.

 

Ujar beliau, BNM gagal untuk melihat perkara-perkara semasa secara holistik, dan sebaliknya memberi tumpuan secara agregat.

 

"Masalah dengan dasar agregat dan membuat keputusan terutamanya dalam bidang ekonomi, adalah ia cenderung mengabaikan keperluan sesetengah sektor masyarakat.

 

"Dalam keadaan ini, kesan kenaikan OPR ialah pinjaman menjadi lebih mahal. Bagaimanakah ia akan memberi kesan kepada golongan miskin yang menghadapi masalah kelangsungan hidup, memastikan adanya makanan di atas meja mereka, bumbung atas kepala mereka, dan menghantar anak mereka ke sekolah?

 

"BNM sepatutnya melaksanakan dasar yang tidak membenarkan bank menaikkan kadar faedah bagi komuniti B40. Ujian berasaskan cara harus diguna pakai dalam hal ini. Langkah itu tidak boleh terlalu sukar untuk dilaksanakan," katanya dalam kenyataan.

 

 

SPCAAM

 

 

Menurut Callistus, BNM tidak boleh bertindak secara berasingan dan mesti selaras dengan keseluruhan strategi ekonomi kerajaan.

 

"Tangan kiri mesti tahu apa yang tangan kanan lakukan dan begitulah juga sebaliknya. Pembuatan dasar dari atas ke bawah hierarki kerajaan haruslah ada kesinambungan," katanya.

 

Pada 3 Mei 2023, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM sekali lagi menaikkan OPR bank pusat sebanyak 25 mata asas kepada 3%.

 

Kadar siling dan tingkat lantai koridor OPR juga masing-masing meningkat kepada 3.25% dan 2.75%. - DagangNews.com