KUALA LUMPUR 25 Feb - Keuntungan bersih Kenanga Investment Bank Bhd. meningkat 16% kepada RM118.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) daripada RM102.08 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, pendapatan bagi tempoh itu susut kepada RM891.5 juta berbanding RM973.76 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pulangan tahunan ke atas ekuiti (ROE) mencatatkan 11.5%, naik daripada 10.7%, manakala pendapatan sesaham naik sebanyak 11.9% kepada 16.3 sen berbanding 14.6 sen pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, bagi suku keempat (Q4) berakhir 31 Disember 2021, Kenanga mencatat untung bersih lebih rendah sebanyak RM32.22 juta, susut 18% berbanding RM39.29 juta manakala pendapatan menurun kepada RM226.08 juta daripada RM276.82 juta bagi tempoh sama 2020.
Lembaga Pengarah syarikat telah mengisytiharkan dividen sebanyak 10.5 sen sesaham, tertinggi sejak syarikat mencapai status bank pelaburan.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, 2021 merupakan satu tahun yang penuh pancaroba bagi pasaran modal Malaysia dengan separuh pertama kebanyakannya dipacu oleh momentum rancak, sepertimana momentum yang memacu kecemerlangan kumpulan pada 2020.
Katanya, jumlah dagangan yang kukuh di Bursa Malaysia yang dipacu aktiviti peruncitan telah mendorong prestasi cemerlang dalam perniagaan pembrokeran saham kumpulan.
“Bagaimanapun, momentum ini menjunam pada separuh kedua 2021 apabila negara dilanda pelbagai cabaran, termasuk pelaksanaan semula langkah sekatan pada pertengahan tahun susulan peningkatan kes COVID-19.
"Penanda aras Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang kekal di atas 1,600 mata pada awal 2021, menurun bawah 1,500 mata pada separuh kedua, malah, nilai dagangan purata harian turut merosot kepada RM4.1 bilion pada Disember daripada paras tertinggi RM10.6 bilion pada Februari,” katanya.
Bahagian Pembrokeran Saham Kenanga mengekalkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM86.4 juta bagi FY2021 manakala bahagian pasaran runcitnya meningkat daripada 22.2% kepada 24.2%, yang didorong oleh perluasan kerjasama berterusan dengan Rakuten Trade, iaitu platform dagangan saham digital sepenuhnya yang pertama di Malaysia.
Sumbangan PBT daripada Bahagian Pengurusan Pelaburan Kenanga melonjak hampir 3 kali ganda kepada rekod tertinggi sebanyak RM34.9 juta.
Meninjau ke hadapan, beliau memberitahu, aspek digital yang merupakan teras penting pertumbuhan kumpulan akan terus memainkan peranan penting dalam memacu fasa kemajuan seterusnya. - DagangNews.com